PENUMPANG GENTING DREAM TERUJA MAHU TEROKA MELAKA
KOTA LAKSAMANA 11 November – Pelancong singgah ke Melaka menerusi kapal persiar mewah, Genting Dream Cruise, menyatakan perasaan tidak sabar untuk meneroka Melaka yang dianggap sebagai destinasi percutian unik, kaya dengan sejarah dan sarat dengan lokasi ikonik.
Pelancong dari India, ingin dikenali sebagai Nadhamani, 39, berkata, sebelum ini dia meneroka Melaka dengan melayari internet dan berasa amat teruja apabila mendapat maklumat mengenai pelbagai lokasi menarik untuk dilawati.
“Ini pertama kali saya datang menjejakkan ke bumi Melaka, diharapkan dengan hampir 12 jam tempoh masa berada di sini, saya dapat ‘enjoy’ Melaka. Paling teruja adalah untuk mencuba menu ‘wajib’ yang popular iaitu asam pedas.
“Saya bekerja di Singapura dan sebelum ini hanya mendengar mengenai keunikan Melaka berdasarkan perkongsian oleh rakan-rakan berasal dari Malaysia,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ketibaan Kapal Persiaran Genting Dream Cruise di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka, di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi Lim Thien Lung, 43, dia bersama isteri yang hanya mahu dikenali sebagai Anisah, 34, mengambil kesempatan menaiki kapal persiar mewah, Genting Dream Cruise yang memulakan pelayaran sulung ke Melaka.
Thien Lung yang berasal dari Kuching, Sarawak, berkata, pelayaran itu dianggap istimewa kerana ia adalah hadiah kepada isterinya bersempena ulang tahun kesembilan perkahwinan mereka.
“Sebenarnya saya sudah empat kali berkunjung ke Melaka, namun isteri saya yang berasal dari Kalimantan, Indonesia ini tidak pernah jejak kaki ke bumi Hang Tuah. Selama ini saya hanya membuat carian di internet dan tunjuk pada isteri dan dia sangat teruja untuk melancong ke sini,” jelasnya.
Nada sama disuarakan, Anisah yang berpandangan Melaka sebagai sebuah negeri yang unik dan terkenal dengan sektor pelancongan.
“Kami mempunyai masa sehingga jam 8 malam ini untuk meneroka Melaka, saya dan suami akan menggunakan masa yang ada ini untuk mencuba seberapa banyak makanan, singgah ke setiap lokasi ikonik terkenal seperti Bangunan Stadthuys dan Menara Taming Sari,” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Menteri bersama 3,881 penumpang Genting Dream Cruise dari Harbour Bay Singapura tiba di Kompleks ICQS kira-kira jam 8.40 pagi dan disambut meriah dengan paluan kompang dan gendang, selain persembahan kebudayaan.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Presiden Resort World Cruises, Micheal Goh serta kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.