SIDANG DUN BAJET 2025 : SEKTOR PELANCONGAN DAN PELABURAN JADI TUMPUAN

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDA HILIR 11 November – Pembentangan Belanjawan 2025 Negeri Melaka pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang akan lebih menyentuh kepada sektor pelancongan dan pelaburan negeri.

Timbalan Speaker DUN Melaka, Kerk Chee Yee bagaimanapun berkata pihaknya masih belum menerima keseluruhan soalan setakat ini.

Chee Yee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh berkata, persidangan DUN yang bakal berlangsung pada 9 hingga 12 Disember depan amat penting dalam menentukan hala tuju negeri bagi 2025.

“Buat masa ini kami belum menerima soalan dan juga butiran daripada semua Adun. Namun apa yang saya boleh katakan Bajet 2025 adalah penting kerana tahun ini baru kita selesaikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Kami (Kerajaan Negeri) mensasarkan sektor pelancongan di Melaka akan sampai ke tahap seperti sebelum pandemik.  Itu antara perkara yang kita mahu sampaikan kepada rakyat Melaka.

“Seterusnya, tahun ini dan sebelum ini kita memang fokus untuk menarik lebih ramai pelabur, domestik atau antarabangsa. Jadi dalam bajet yang akan datang ini, saya rasa lebih banyak fokus perlu diberikan kepada sektor pelancongan dan juga pelaburan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui merasmikan Program Dynamix Dance Recital @ Mahkota Parade sempena ulang tahun ke-30 Mahkota Parade, semalam.

Mengulas lanjut, Chee Yee berkata Kerajaan Negeri giat berusaha merancakkan lagi sektor pelaburan yang dilihat mampu mengubah landskap ekonomi Melaka.

Jelasnya, dengan peningkatan ekonomi negeri ia dapat memberi jaminan kepada lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda.

“Melaka ini seperti negeri yang eksport orang muda ke luar negeri kerana ‘kononnya’ tidak cukup peluang pekerjaan di sini.

“Jadi dengan adanya penambahbaikan daripada segi struktur ekonomi,  saya percaya kita mampu mengubah perkara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

106
Kongsi :
Previous post KAKI KAROM ‘BERKAMPUNG’ DI MELAKA
Next post PELAYARAN BERSEJARAH GENTING DREAM CRUISE KE MELAKA
Ubah saiz-+=