MELAKA BANTU PRODUK USAHAWAN TEMBUSI PASAR RAYA, STESEN MINYAK

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 November – Penganjuran Festival Melaka 2024 selama empat hari bermula 7 November lalu terbukti menjadi antara inisiatif terbaik Kerajaan Negeri dalam membantu usahawan di negeri ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, festival itu bukan sahaja menjadi medan buat usahawan mendapatkan khidmat nasihat dari sudut pembiayaan dan insentif, bahkan ia juga berjaya membantu memasarkan produk-produk mereka untuk menembusi pasaran lebih besar.

Beliau memaklumkan, menerusi festival itu, seramai 216 usahawan telah menyertai sesi padanan perniagaan yang dianjurkan bersama sembilan ‘anchor’ membabitkan pasar raya dan stesen minyak seluruh Negeri Melaka.

“Sesi padanan perniagaan ini telah merekodkan nilai RM10.6 juta hasil sambutan hebat yang diterima. Malah, ramai usahawan mahu sesi padanan perniagaan ini diadakan lagi kerana ia sangat membantu dalam memasarkan produk mereka.

“Selain itu, pada festival ini juga, kita membantu seramai 46 usahawan membuka gerai jualan bagi mempromosikan pelbagai produk mereka seperti makanan, kraftangan dan lain-lain.

“Tidak hanya itu, kita juga telah membawakan lebih 10 agensi berkaitan keusahawanan untuk membantu dalam memberi khidmat nasihat, di mana saya percaya ia menjadi platform terbaik untuk membantu usahawan bertanyakan mengenai pembiayaan, geran dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Festival Melaka 2024 di Aeon Bandaraya Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Muhammad Ikram Ibrahim dan Pengarah SME Corp Negeri Melaka Noor Azzam Yaazizul Ghafar.

Dalam pada itu, Allex berkata, penganjuran Festival Melaka itu akan diangkat menjadi acara tahunan selepas melihat kejayaan edisi sulungnya tahun ini yang menerima sambutan hebat.

Pada masa sama, jelasnya, program Jelajah Usahawan juga akan diteruskan di setiap Parlimen dalam Negeri Melaka dalam usaha membantu usahawan-usahawan di negeri ini terus berkembang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

251
Kongsi :
Previous post ORANG KAMPUNG ASAHAN KONGSI ILMU, GAYA HIDUP
Next post ATLET TAEKWANDO TERIMA ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA UTEM
Ubah saiz-+=