PIALA MALAYSIA: MELAKA FC SEDIA BERI TENTANGAN

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 9 November – Melaka FC bersedia memberikan tentangan sengit dalam aksi Piala Malaysia 2024/25 yang dijadual bermula 20 November ini.

Meskipun berstatus pasukan Liga A1 Semi-Pro, namun pemilik Melaka FC Datuk Wira Nur Azmi Ahmad tetap optimis kelabnya mampu mencipta kejutan menentang nama-nama besar dari Liga Super.

Beliau memaklumkan, bagi menghadapi saingan itu, Melaka FC bakal diperkuatkan dengan dua lagi tambahan pemain import mengikut syarat pertandingan.

Menurutnya, pihak kelab bersama Ketua Jurulatih, K Devan kini dalam proses menilai dan memilih pemain berpotensi untuk menyarung jersi Melaka FC bagi menghadapi kempen Piala Malaysia.

“Dua pemain tersebut bakal mengisi posisi serangan dan pertahanan bergandingan dengan dua pemain import sedia ada kita.

“Buat masa ini, tiga pemain akan diuji iaitu dari Nigeria, Ghana dan Perancis dan kami amat berharap pemain-pemain ini memenuhi kriteria yang dikehendaki.

“Walaupun menyedari kemungkinan kita bakal menentang kelab-kelab hebat dari Liga Super seperti Johor Darul Takzim (JDT) atau Selangor, namun pemain-pemain tetap bersemangat dan komited memberi komitmen tinggi untuk bersaing dengan nama-nama besar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Liga Bola Sepak ‘Governor Cup’ Edisi Ketiga 2024 dan Kejohanan Liga Bola Jaring Piala Toh Puan Edisi Kedua 2024 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman, di Taman Seribu Bunga, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin serta lain-lain kenamaan.

Nur Azmi berkata, meskipun terpaksa mengharungi kempen Piala Malaysia dan Liga A1 Semi Pro pusingan kedua secara serentak, namun beliau percaya pemainnya sudah bersedia mental dan fizikal dalam membawa nama Negeri Melaka.

Menurutnya, komitmen itu dibuktikan menerusi reputasi kelab itu yang kita mengungguli carta Liga A1 Semi Pro dengan mencatat 12 kemenangan, empat seri dan hanya tewas sekali daripada 17 perlawanan.

“Kedua-dua saingan ini amat penting sebagai contoh Liga A1 Semi Pro kita ada 11 perlawanan lagi untuk cuba menjadi juara bagi melayakkan diri ke saingan Liga Super musim depan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post PELANCONGAN MELAKA-SINGAPURA SEMAKIN RANCAK
Next post PUTRA SPECIALIST HOSPITAL TAWAR PAKEJ MENARIK SEMPENA WTD 2025
Ubah saiz-+=