TEATER MUZIKAL MANEK SULAMKAN SI-AYER MATA PADA 22 DAN 23 NOVEMBER INI
SERI NEGERI 7 November – Orang ramai khusus peminat seni dipelawa untuk menyaksikan teater muzikal wayang perpaduan peranakan bertajuk Manek Sulamkan Si-Ayer Mata bakal dipentaskan di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 22 dan 23 November depan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, teater perpaduan peranakan adalah hasil kerjasama Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA) dan Pertubuhan Seni Kesidang Sari (PERSIDANG).
Katanya, pementasan itu turut mendapat Kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) selain disokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Teater muzikal ini berkisarkan sebuah keluarga peranakan Baba Nyonya terkenal dalam seni sulaman kasut manik, namun timbul konflik apabila anak-anak mahu berumah tangga enggan mewarisi kemahiran tradisi itu.
“Sulaman kasut manik adalah seni semakin pudar dan terancam akibat pewaris yang lebih terarah kepada pemikiran moden. Plot teater muzikal ini membawa penonton menyelami pelbagai emosi selain sarat dengan mesej iaitu pentingnya warisan budaya keluarga dijaga,” katanya pada sidang media Wayang Perpaduan Peranakan: Manek Sulamkan Si-Ayer Mata di Bilik Kesidang di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka, Ezlina Alias dan Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA), Madelina Kuah serta kenamaan lain.
Menurutnya, pementasan perdana teater muzikal itu akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman serta isteri Ketua Menteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab. Aziz.
“Pementasan dijadualkan bermula jam 8 malam, kepada yang berminat tiket dijual pada harga RM150, RM100 dan RM50. Bagi sebarang maklumat lanjut boleh hubungi talian 017-6813901 atau 011-10198201,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.