PELAJAR PRAUNIVERSITI PERLU CELIK DIGITAL, TEKNOLOGI – KM
LENDU 7 November – Setiap pelajar Kolej Tingkatan 6 (Prauniversiti) diingatkan supaya mempersiapkan diri dengan menguasai ilmu digital dan mengikuti perkembangan teknologi semasa sebagai bekalan untuk mendepani cabaran bidang akademik yang lebih kompleks pada masa akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, sehubungan itu sebagai persediaaan atau bekalan, pelajar digesa menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Kecerdasan Buatan (AI) yang amat relevan dalam suasana dunia semasa.
“Tamat sahaja Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) anak-anak akan melangkah ke menara gading, namun perlu ingat bahawa bidang akademik ketika ini lebih mencabar, kewujudan AI akan menjangkau kecerdasan manusia. Mahu atau tidak anda perlu bersedia mendepani cabaran ini, jangan sampai AI menjadikan kita seperti seorang budak yang berpura-pura pandai.
“Pengaruh teknologi ini akan mengubah gaya hidup seharian yang turut mencakupi budaya dan adat. Segalanya akan berubah, suka saya mengingatkan perkara ini kerana apa yang bakal ditempuh anak-anak semua tidak sama dengan cabaran yang kami lalui,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Kecemerlangan Tingkatan 6 Peringkat Daerah Alor Gajah Tahun 2024 di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta tetamu lain.
Ab Rauf berkata, selain penguasaan teknologi, generasi muda juga perlu memberikan tumpuan dan mengambil cakna pengetahuan berhubung sejarah bangsa yang mampu menjadi panduan kepada mereka.
“Kenali sejarah, ambil tahu bagaimana bermulanya peradaban bangsa, ini akan menyuntik semangat dalam diri kita untuk terus maju ke hadapan. Sejarah yang hebat akan melahirkan sebuah negara hebat, kekuatan ini sudah terbukti dan dapat kita lihat menerusi kisah pahlawan Melayu Hang Tuah yang pernah menjadikan Negeri Melaka ini suatu ketika dahulu sebagai sebuah negeri yang hebat.
“Hari ini sikap berprasangka perlu dihapuskan, anak-anak perlu bangkit supaya suatu hari nanti boleh ke hadapan menjadi pemimpin yang mampu membentuk dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.