MELAKA SERIUS PERKASA MASYARAKAT DESA
KOTA LAKSAMANA 6 November – Pembangunan kawasan luar bandar dan pemerkasaan masyarakat desa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri Melaka dalam membina negeri lestari.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu menjadi antara tunjang yang diberi perhatian memandangkan kawasan luar bandar akan menjadi penyumbang utama kepada kemakmuran negara pada masa hadapan.
Justeru beliau berkata, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif membabitkan kawasan luar bandar, termasuklah menjadi negeri pertama menubuhkan Paramedik Komuniti (PARAKOM) dan membangunkan inisiatif Kampung Digital.
“Selain itu, inisiatif lain yang diperkenalkan adalah memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); meningkatkan capaian jalur lebar di kawasan luar bandar termasuk di Perkampungan Orang Asli serta memperkasa program pertanian, perternakan dan perikanan.
“Tidak hanya itu, Kerajaan Negeri juga mahu membangunkan Koridor Ekonomi Anjung Selatan yang akan memberi tempias limpahan kepada masyarakat luar bandar serta memperkenalkan inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat.
“Sebenarnya, banyak lagi inisiatif yang telah digerakkan untuk masyarakat luar bandar jika nak saya senaraikan satu per satu. Walau bagaimanapun, esok, saya akan bentangkan dengan lebih terperinci berkaitan inisiatif Kampung Digital dan Paramedik Komuniti yang menjadi fokus utama Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di sebuah hotel, di sini, malam ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, penganjuran MEXCLUB yang diadakan dua kali setahun itu dilihat amat penting sebagai wadah memperkukuh kerjasama dan persefahaman antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Kerajaan Negeri.
Ia jelas beliau, mencakupi segenap aspek seperti perancangan, pelaksanaan dan pencapaian program termasuklah projek-projek bagi menyantuni kesejahteraan masyarakat luar bandar.
“Melalui platform ini jugalah semua Exco luar bandar dari seluruh negara berkumpul, berkongsi idea, mencanai buah fikiran serta membugar pendapat-pendapat bernas bagi sama-sama memperkasa pembangunan luar bandar di negeri masing-masing yang akhirnya akan memberi impak yang besar kepada rakyat dan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.