PELAJAR SMK KRUBONG KREATIF HASILKAN SENSOR AMARAN BANJIR
AYER KEROH 8 November – Ingin menjadi contoh kepada adik-adik mendorong Nur Emilda Tasnim Suhaimi, 16, menceburkan diri dalam bidang reka cipta sehingga berjaya mencipta produk inovasi ‘flood sensor’ yang berfungsi mengesan kenaikan paras air sungai.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong itu berkata dia menghasilkan produk tersebut bersama rakan-rakannya yang mengambil masa hampir dua bulan untuk siap sepenuhnya.
Katanya, sebelum ini dia tidak pernah menunjukkan minat dalam reka cipta produk inovasi, namun selepas menyertai pertandingan Internet Pelbagai Benda (IoT) pada tahun lalu, minatnya semakin mendalam.
“Saya dan rakan-rakan pada mulanya langsung tidak berminat untuk menghasilkan produk inovasi, tetapi selepas merangkul johan pada pertandingan IoT, kami terus jatuh hati.
“Flood sensor ini berfungsi apabila diletakkan di sungai di mana ia boleh mengesan kenaikan paras air sungai dalam keadaan bahaya dan akan berbunyi bagi memberikan amaran kepada penduduk sekitar.
“Selain produk inovasi untuk mengesan banjir, sebelum ini kami ada menghasilkan produk seperti bot kutip sampah dalam sungai, mengesan gas dan lain-lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Anak sulung daripada empat beradik itu turut berharap mampu mencipta lebih banyak produk inovasi baharu pada masa akan datang.
“Saya harap lebih banyak produk inovasi dapat dihasilkan selepas ini sekali gus memberi tunjuk ajar atau contoh kepada adik-adik dan rakan-rakan yang lain.
“Sudah tentu secara tidak langsung dapat menaikkan nama sekolah saya dan para guru yang tidak pernah berputus asa menjadi pembimbing dalam menghasil produk inovasi yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai seperti ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.