FESTIVAL MELAKA 2024 ‘LUBUK’ USAHAWAN BERJAYA

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 6 November – Penganjuran Festival Melaka 2024 yang akan berlangsung selama empat hari bermula esok dijangka bakal menarik kehadiran kira-kira 8,000 pengunjung.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, festival yang julung kali diadakan itu bukan sahaja akan menghimpunkan usahawan dari pelbagai bidang malah menyediakan aktiviti menarik untuk pengunjung.

Katanya, pusat beli-belah Aeon Bandaraya Melaka dipilih menjadi lokasi penganjuran festival anjuran Kerajaan Negeri bersama SME Corporation Malaysia (SME Corp).

“Pada festival ini, sebanyak 46 gerai disediakan untuk usahawan terpilih dari pelbagai bidang memasarkan atau mempromosi produk keluaran mereka.

“Selain itu, turut bersama adalah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang bersedia memberi khidmat nasihat dan penerangan bagi membantu usahawan mengembangkan lagi perniagaan.

“Penganjuran festival ini juga memberi manfaat kepada komuniti misalnya mereka boleh ke reruai SKM bagi bertanyakan tentang penubuhan koperasi atau ke reruai Tekun Nasional untuk mengetahui pinjaman ditawarkan bagi menjalankan perniagaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

465662771 1111753206972440 7050116928449210287 N
FESTIVAL MELAKA 2024

Menurut Allex, menariknya pada program itu turut akan berlangsung adalah Padanan Perniagaan (Business Matching) khususnya untuk usahawan yang ingin memasarkan produk mereka ke pasar raya dan kedai serbaneka stesen minyak.

“Pada hari pertama festival iaitu Khamis, akan berlangsungnya program Padanan Perniagaan yang mana akan disertai sembilan ‘anchor’ antaranya pasar raya NSK, Family Store, Mesra Petronas, Shell dan Petron.

“Usahawan yang berminat boleh mendaftar untuk sertai dan membawa produk yang ingin dipasarkan.

“Menerusi sesi ini usahawan-usahawan akan diberi penerangan tentang produk yang dibawa sama ada perlu penambahbaikkan atau boleh dipasarkan,” katanya.

Tambahnya, turut akan berlangsung semasa majlis perasmian pada Sabtu adalah penyerahan ‘mock cheque’ kepada usahawan terpilih bagi membantu mereka mengembangkan lagi perniagaan.

“Antara pengisian lain yang turut akan berlangsung sepanjang empat hari adalah ‘pocket talk’, pertandingan teh tarik dan dekorasi kek cawan selain penampilan istimewa watak animasi Boboiboy.

“Malah pengunjung juga berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menarik antaranya barangan elektrik menerusi cabutan bertuah dengan hanya berbelanja RM30 di gerai usahawan yang mengambil bahagian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

135
Kongsi :
Previous post MAIM BUKA 5 KAUNTER AGIHAN ZAKAT WAKTU REHAT
Next post TASKA BEROPERASI SECARA HARAM DISITA JKM MELAKA
Ubah saiz-+=