PEGAWAI SPRM DIDAKWA SALAH GUNA WANG SITAAN BERJUMLAH RM613,000
PUTRAJAYA 5 November – Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang.
Azizun Mohamad yang memegang jawatan Penolong Pesuruhjaya (Gred P48) didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan wang sitaan sebanyak RM613,000 berkaitan dengan Op Green.
Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan Op Green adalah operasi oleh suruhanjaya itu yang berjaya membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada 2019.
Kesalahan berkenaan didakwa berlaku antara 1 Jun 2020 hingga 9 Feb 2024 di Cyberjaya.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda,” menurut kenyataan itu.
Menurut SPRM, pihaknya mengambil serius dan tidak berkompromi terhadap isu integriti serta etika kerja semua pegawainya.
“Harus ditegaskan bahawa SPRM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah serta tanggungjawab yang diberikan kepada suruhanjaya terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.
SPRM memaklumkan tindakan terhadap pegawainya mencerminkan kesungguhan suruhanjaya itu dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.
Menurut kenyataan itu SPRM juga bertekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.