POLIS RAMPAS DADAH LEBIH RM2.2 JUTA, TAHAN LIMA INDIVIDU
AYER KEROH 5 November – Tiga lelaki dan dua wanita warga asing dicekup bersama sejumlah dadah bernilai lebih RM2.2 juta dalam dua serbuan berasingan di daerah Melaka Tengah, Jumaat lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 37 tahun itu dicekup dalam serbuan di sebuah kondominium di Melaka Raya dan bangunan di Jalan Merdeka, kira-kira jam 3 pagi.
Menurutnya, kesemua suspek termasuk dua wanita warga Indonesia itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di Melaka.
“Dalam serbuan di kedua-dua premis itu polis menemui sejumlah serbuk ekstasi hampir 13,000 gram, ketamin 300 gram, pil ekstasi lebih 1,300 biji dan pil eramin 5 sebanyak 280 biji.
“Kesemua dadah yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM2,288,704 dan dipercayai untuk pasaran tempatan serta boleh digunakan seramai 68, 240 orang penagih,” katanya.
Menurut Zainol, hasil siasatan awal dijalankan sindiket dipercayai aktif dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah sejak awal tahun ini.
“Hasil ujian saringan keatas kesemua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah ketamin dan benzo. Selain tangkapan keatas suspek, kami turut merampas wang tunai berjumlah RM6,400 dan dua buah kenderaan dalam kedua-dua serbuan dijalankan,” katanya.
Katanya, kelima-lima suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 7 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.