POTENSI MELAKA SEBAGAI ‘HOMEPORT’ SYARIKAT PERKAPALAN DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 4 November – Selat Melaka sebagai laluan perdagangan antarabangsa strategik sejak berabad lalu mampu menjadikan negeri ini sebagai sebuah ‘homeport’ bagi syarikat perkapalan dunia pada masa akan datang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, setiap tahun kira-kira 90,000 kapal mengangkut suku daripada dagangan dunia seperti minyak, gas dan produk pengguna melalui Selat Melaka.

Katanya, Selat Melaka bukan sekadar laluan perkapalan sebaliknya boleh dianggap sebagai penghubung kepada aktiviti perdagangan dan pelancongan selain pemangkin kepada perkembangan pembangunan.

“Selat Melaka kini diibaratkan menjadi ‘rumah’ kepada industri pelayaran yang semakin berkembang pesat. Peranan Melaka amat besar dalam sektor ini kerana selain menjadi sebuah pelabuhan, negeri ini berpotensi untuk dijadikan sebagai homeport iaitu destinasi pelayaran bermula dan berakhir.

“Apabila menjadi sebuah homeport ia akan menarik lebih ramai pelancong untuk singgah ke Melaka dengan meneroka pelbagai kemudahan, makanan dan tempat tinggal di negeri ini, sekali gus membawa pulangan untuk merancakkan lagi sektor ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa 1st Melaka International Maritime Conference (MIMEC2024) diadakan di sebuah hotel di Bandaraya Melaka, di sini, hari ini.

Terdahulu, majis perasmian MIMEC2024 disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Pengerusi TAG Marine Sdn Bhd, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Linggi International Port (KLIP), Tan Sri Dr. Noormustafa Kamal Yahya serta tetamu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

172
Kongsi :
Previous post KESIDANG VARIETI PADI BAHARU KAWASAN LUAR JELAPANG
Next post MENARA TAMING SARI GAMIT 9 JUTA PENGUNJUNG
Ubah saiz-+=