MELAKA AGRESIF LAKSANA KEMPEN CEGAH JENAYAH SIBER

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 4 November – Hari Keselamatan Siber Negeri Melaka Tahun 2024 menjadi antara program khusus yang dianjurkan bagi meningkatkan lagi kesedaran penjawat awam dan rakyat negeri ini berhubung ancaman jenayah siber yang semakin kritikal.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, aktiviti taklimat dan hebahan berlangsung selama dua hari itu membabitkan lebih 100 penjawat awam mewakili semua jabatan dan agensi di Melaka.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, berkata objektif yang ingin dicapai menerusi program terbabit adalah mengekalkan kefahaman siber pada segenap lapisan rakyat sehingga peringkat akar umbi.

“Kerajaan Negeri giat melaksanakan pelbagai program dan kempen kesedaran bagi mengekang kejadian insiden atau jenayah siber daripada terus berleluasa di negeri ini.

“Pada masa ini Kerajaan negeri mempunyai 33 orang Ketua Pegawai Digital dan Pegawai Keselamatan ICT membabitkan 18 Jabatan Kerajaan Negeri,  Badan Berkanun Negeri (11) dan Pihak Bekuasa Tempatan (4).

“Mereka ini berperanan utama meneraju inisiatif pendigitalan di kementerian dan agensi melalui penggunaan data, analitis serta teknologi digital selamat selain terpecaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Keselamatan Siber Negeri Melaka di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Ketua Jabatan Teknologi Maklumat Jabatan Ketua Menteri (ICT) negeri, Fauzi Elham.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata program itu juga bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan arahan-arahan dan garis panduan baharu daripada kerajaan.

Jelasnya, ia turut berobjektif untuk memperkenalkan teknologi dan produk keselamatan siber baharu yang terkini di pasaran.

“Kita juga mahu mewujudkan pasukan keselamatan siber Negeri Melaka yang lebih proaktif untuk mengurus dan mengawal insiden keselamatan siber,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

60
Kongsi :
Previous post KES MENURUN, TETAPI KERUGIAN AKIBAT JENAYAH SIBER MENINGKAT
Next post MELAKA MAHU ‘HIDUPKAN’ SEMULA WARISAN MARITIM
Ubah saiz-+=