MIHF’24: OPTIMUMKAN INDUSTRI HALAL
BANDARAYA MELAKA 3 November – Melaka International Halal Festival 2024 (MIHF’24) dijangka mampu menarik sehingga 25,000 orang pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya nanti.
Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad berkata festival dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 22 Disember di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) akan mengumpulkan seramai 450 pemamer domestik dan luar negara.
Katanya, penganjuran MIHF’24 bakal menarik pengeluar produk dan perkhidmatan halal dari Indonesia, Singapura, Timur Tengah, Jepun dan Korea Selatan.
“Antara objektif MIHF’24 adalah menyokong ekosistem halal, menarik pelabur, mempromosikan gaya hidup halal dan membantu menyumbang atau menjana ekonomi Negeri Melaka.
“Antara tarikan sepanjang Festival ini adalah pameran produk halal, bengkel dan seminar, padanan perniagaan selain pertunjukan fesyen modest dan demonstrasi produk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis-Pra Pelancaran MIHF’24Â yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, semalam.
Shaifulfazlee berkata, MIHF’24 adalah antara aktiviti menarik yang diatur sebelum tamatnya kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) hujung Disember ini.
“Secara tidak langsung MIHF’24 dapat memperkenalkan Melaka sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim mengutamakan halalan toyyiban.
“Kami berharap MIHF’24 julung kali dianjurkan akan menjadi permulaan dalam memperkukuhkan peranan Malaysia khususnya Melaka sebagai hab halal antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.