LTAM BERPOTENSI JADI HAB PENERBANGAN SERANTAU
BATU BERENDAM 2 November – Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) berpotensi menjadi hab penerbangan serantau bagi sebelah barat Indonesia.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kedudukan Melaka adalah strategik dan berpotensi mewujudkan penerbangan Indonesia-Melaka, Melaka-Singapura.
“LTAM ini dilihat boleh dijadikan hab penerbangan serantau dengan kerjasama syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa, contohnya seperti Scoot Airlines.
“Saya telah berbincang dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan saya diberitahu, untuk menjadi hab serantau bagi rantau sebelah barat Indonesia, Melaka adalah lapangan terbang yang begitu strategik untuk menjalinkan hubungan udara dengan kedua-dua negara kerana ia boleh digunakan dari Indonesia ke Melaka dan Melaka ke Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024 di LTAM Batu Berendam, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri; Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta wakil-wakil jabatan.
Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan syarikat penerbangan tempatan yang berminat untuk menjadikan LTAM sebagai hab penerbangan serantau Indonesia-Melaka, Melaka-Singapura.
“Terpulanglah pada syarikat penerbangan tempatan untuk mengambil kesempatan ini untuk menjadi pengantara di antara penerbangan domestik daripada Melaka.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan sekiranya ada syarikat penerbangan tempatan yang boleh menjadikan Melaka sebagai hab untuk berhubung dengan negeri-negeri di semenanjung ini,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.