PUNCAK LAKSAMANA MERCU TANDA BAHARU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 1 November – Puncak Laksamana kini menjadi mercu tanda baharu Melaka, sekali gus menjadi lokasi tumpuan buat penggemar aktiviti mendaki bukit (hiking).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Puncak Laksamana akan menjadi tarikan baharu buat pelancong dari dalam serta luar Melaka untuk beriadah dan menikmati pemandangan menarik dari kawasan puncak tersebut.

“Mercu tanda baharu iaitu Puncak Laksamana dilancarkan secara rasmi di sebuah kawasan puncak tertinggi di Bukit Beruang, ditambah pula dengan meletakkan bendera gergasi Melaka, sudah pasti menjadi daya tarikan kepada pelancong dan pengunjung beriadah di kawasanini.

“Kerajaan Negeri akan mempertingkatkan lagi pelbagai kemudahan untuk pengunjung dan pelancong datang ke sini dan lokasi ini juga turut akan dijadikan kawasan Glamping baharu untuk masyarakat dapat beriadah bersama keluarga ataupun syarikat-syarikat yang mahu mengadakan team building di Puncak Laksamana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Puncak Laksamana, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron serta wakil-wakil jabatan.

Ketua Menteri berkata, menjelang penganjuran World Tourism Day 2025 (WTD 2025) dan World Tourism Conference 2025 (WTC 2025) tahun hadapan, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian dalam mempertingkatkan infrastruktur pelancongan negeri ini.

“Jadi, pastinya Kerajaan Negeri akan bermula awal dan melihat pada semua sudut persediaan untuk sambutan WTD 2025 dan WTC 2025 yang menyaksikan Melaka diiktiraf mewakili Malaysia sebagai tuan rumah.

“Pastinya Melaka akan menjadi tumpuan dunia pada bulan September tahun hadapan dan antara inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri ialah mempertingkatkan kualiti infrastruktur pelancongan ini supaya ia menjadi satu daya tarikan bertaraf dunia,” ujarnya.

Untuk rekod, Monumen Puncak Laksamana telah disiapkan pada 30 Mei 2024 dan diserahkan kepada MPHTJ pada 23 Ogos 2024.

Projek ini telah direka dengan kriteria khas termasuk beberapa kemudahan disediakan seperti ketinggian tiang bendera 65 meter, bendera jenis twinkle satin, sistem takal bermotor, platform tinjau, gerbang bercirikan Islamik, landskap kejur dan replika pantun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

955
Kongsi :
Previous post ASET ATM JADI TUMPUAN HARI PERTAMA KUAM 2024
Ubah saiz-+=