AYER LIMAU DILANDA RIBUT, 77 RUMAH TERJEJAS

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER LIMAU 30 Oktober – Kira-kira 77 buah rumah membabitkan lebih 10 kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau terjejas akibat bencana rebat yang berlaku, awal pagi tadi.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata kejadian ribut itu berlaku kira-kira jam 3 pagi menyebabkan beberapa rumah mengalami kerosakan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, bermula hari ini sehingga Jumaat, pihaknya bersama pemimpin setempat akan menyampaikan bantuan awal kepada penduduk terjejas.

“Kita masih lagi mengenal pasti rumah-rumah yang terjejas akibat hujan lebat dan ribut awal pagi tadi, tinjauan saya ke beberapa lokasi mendapati kebanyakan rumah rosak membabitkan bumbung rumah, kekisi tingkap dan beberapa kerosakan lain.

“Antara kawasan terjejas membabitkan Kampung Bukit Apit, Kampung Lekok, Kampung Ayer Limau, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Ramuan China Kecil, Kampung Lubok China, Kampung Sungai Siput, Kampung Sungai Jernih dan Felcra Ramuan China.

“Selain itu, bencana itu turut melanda beberapa kawasan perumahan antaranya Taman Wiramas, Rumah Awam Sungai Siput, Taman Seri Paya Rumput, Taman Paya Rumput dan Taman Dato Tamby Chik,” katanya.

Whatsapp Image 2024 10 30 At 17.35.42
ANTARA rumah penduduk dalam DUN Ayer Limau yang terjejas dihempap pokok akibat hujan lebat dan ribut.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas melawat kawasan rumah terjejas di DUN Ayer Limau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hameed berkata, bantuan akan diberikan kepada semua penduduk yang terjejas dan pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Penghulu Kampung masih lagi mengenal pasti lokasi terlibat dengan bencana itu.

“Pada Jumaat ini, saya bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim akan pergi melawat dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terjejas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

139
Kongsi :
Previous post ASEAN 2025: INDUSTRI PELANCONGAN TEMPATAN DIGESA REBUT PELUANG
Next post KUAM 2024 BUKA TIRAI ESOK
Ubah saiz-+=