KUAM 2024 BUKA TIRAI ESOK

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 30 Oktober – Persiapan lebih 80 peratus Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang bakal berlangsung bermula esok hingga 3 November ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini di LTAM mendapati rata-rata lebih 28 agensi terbabit sedang melaksanakan persiapan termasuk syarikat-syarikat penerbangan yang terlibat.

Menurut kenyataan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, KUAM 2024 akan dimeriahkan dengan pelbagai tarikan hasil pameran aset-aset ketenteraan yang akan dibawa.

Antaranya, sebanyak 12 aset Tentera Darat Malaysia (TDM) ke tapak karnival membabitkan kereta kebal jenis Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV) 12.7 milimeter (mm); ADNAN Armoured Mortar Carrier (AMC) 81mm;Gempita 8 x 8 Surveillance; Gempita 8 x 8 Anti Tank Guided Weapon (ATGW).

Turut dibawa kenderaan PT91 Pendekar; Gempita 8 x 8 Armoured Engineer Nuclear Biological and Chemical (AENBC); 105mm Pack Howitzer L5; Multi Channel Radio System (MCRS); Kenderaan Pembawa Senjata (KPS) Gutling Gun; G-Wagon Heavy Machine Gun (HMG); Kenderaan Pembawa Mortar (KPM) 81mm; Rapid Ranger Starstreak.

Kesemua aset tersebut membabitkan lima kem TDM seluruh negara.

Selain itu, difahamkan pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan udara yang disajikan khas pada KUAM 2024.

Antara persembahan udara yang akan dilaksanakan membabitkan persembahan payung terjun pelbagai aksi oleh golongan profesional.

Turut diadakan nanti adalah persembahan hampir 20 unit paramotor, hang glider, super petrel dan pelbagai lagi.

6129912908835045101
ANTARA aset menarik yang akan dipamerkan kepada orang ramai. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pengunjung tidak akan berasa rugi dengan mengeluarkan duit tiket masuk serendah RM5 untuk kanak-kanak dan RM10 untuk dewasa kerana terdapat tarikan turut disediakan.

Ia termasuklah pelbagai aktiviti menarik membabitkan kapal terbang, helikopter seperti simulasi jet pejuang; drone soccer; pertandingan mewarna serta pelbagai lagi aktiviti lain yang melibatkan semua golongan usia.

Untuk pengunjung yang hadir ke KUAM2024, mereka boleh meletak kenderaan di Pasar Raya Econsave Batu Berendam dan menaiki bas ulang-alik yang disediakan.

KUAM 2024 menyediakan empat buah Bas Panorama sebagai bas ulang-alik yang akan mengambil dan menghantar penumpang di pasar raya tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

269
Kongsi :
Previous post AYER LIMAU DILANDA RIBUT, 77 RUMAH TERJEJAS
Next post MAIM RAI 20 ‘SAUDARA BAHARU’
Ubah saiz-+=