Sorting by

×

Melaka tak iktiraf UEC

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 9 Dis. – Kerajaan negeri tidak pernah mewartawakan kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat pengambilan penjawat awam di negeri ini secara rasmi.

Pengerusi Jawatankuasa Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi) negeri Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, perkara itu yang berlaku kerana kerajaan terdahulu ditadbir Pakatan Harapan (PH) membuka peluang kepada pemegang sijil UEC untuk menerajui perkhidmatan pentadbiran dalam kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, syarat kemasukan itu tidak pernah diwartakan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau diberi tindakan lanjut memandangkan ia hanya cadangan mantan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

“Apa yang berlaku ketika itu, Ketua Menteri (Adly) memaklumkan bahawa kerajaan negeri membuka peluang untuk menerima mereka yang mempunyai sijil UEC untuk berkhidmat dalam kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, ia sampai di situ sahaja, maknanya ia hanya diisytiharkan dalam dewan ini tanpa sebarang tindakan lanjut, akibatnya ia statik sahaja,” katanya.

Noor Effandi (BERSATU-Telok Mas) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Md Rawi Mahmud (BN-Tanjung Bidara) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-14, di Seri Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Effandi berkata, setakat ini, tiada penjawat awam dalam kerajaan negeri dilantik menggunakan kelulusan UEC kerana pentadbiran kerajaan masih tertakluk kepada peraturan dan pekeliling semasa yang ditetapkan Kerajaan Pusat.

“Bagi tujuan pelantikan ke penjawat awam, syarat kelayakan (bagi) kemasukan adalah berdasarkan kepada Pekeliling Awam Skim Perkhidmatan Awam Bilang 1 Tahun 2016,” katanya.

Dalam Persidangan Kedua, Penggal Pertama DUN Melaka yang ke-14 dua tahun lalu, Adly (AMANAH-Bukit Katil) dilaporkan mempertahankan tindakan kerajaan negeri untuk mengiktiraf UEC sebagai antara syarat pengambilan penjawat awam di negeri bagi membela semua nasib anak Melaka.

Views:

890
Kongsi :
Previous post Pembukaan Daerah Masjid Tanah tetap diutamakan – Idris
Next post Bayi 9 Disember dapat RM150
Ubah saiz-+=