Sorting by

×

TAMAN EKSTREM TASIK CHINCHIN ‘PERMATA’ BAHARU PELANCONGAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

RIM 26 Oktober – Taman Ekstrem Tasik Chinchin akan diangkat menjadi sebuah pusat ekopelancongan dan sukan lasak di Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus bakal merancakkan semula kawasan tersebut sebagai kawasan riadah untuk keluarga, khususnya mereka yang meminati aktiviti luar (outdoor).

Menurut Ketua Menteri, kawasan itu juga akan dibina sebuah Taman Karavan (Caravan Park) yang akan memberi nilai tambah dalam sektor pelancongan negeri.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri komited membangunkan semula kawasan tersebut kerana ia mempunyai potensi besar dalam menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kawasan ini mempunyai potensi yang begitu besar dan pada tahun hadapan ia akan dibangunkan dengan sebuah Caravan Park pertama dalam Melaka yang pastinya akan menjadikan kawasan ini sebagai lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Ketua Menteri (CMI) komited selepas mengambil alih kawasan ini untuk dibangunkan semula selepas dibina sejak 14 tahun lalu supaya ia dijadikan sebagai sebuah kawasan daya tarikan baharu pelancongan.

“Kawasan ini akan diperkenalkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti perkhemahan, glamping, ‘camp fire’, pusat aktiviti riadah keluarga serta pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jamboree@Chinchin X Helaz di Taman Ekstrem Tasik Chinchin, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abd Azis; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Khairul Azreem Mamat dan Pengurus Besar CMI Datuk Mohd Saleh Jusman.

Jamboree@Chinchin X Helaz itu dianjurkan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan ia berjaya menarik kira-kira 5,000 peserta dan pengunjung dari dalam dan luar negara untuk menyertai pelbagai aktviti sukan lasak yang dianjurkan.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, Melaka akan meletakkan penganjuran itu sebagai antara acara utama pelancongan negeri pada tahun hadapan.

“Kita akan menambah baik lagi sambutan yang diadakan kali ini dan ia akan dijadikan sebagai antara acara utama dalam kalendar pelancongan Negeri Melaka pada tahun hadapan.

“Malah, pada tahun hadapan ia juga akan dianjurkan bersama Melaka Jazz Festival,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1943
Kongsi :
Previous post MBMB KUKUHKAN HUBUNGAN DENGAN KOMUNITI
Next post AYER MOLEK BERSELAWAT DITERUSKAN TAHUN DEPAN
Ubah saiz-+=