TAK LOKEK ‘MELABUR’ DEMI KECEMERLANGAN ANAK MELAKA
TANJUNG BIDARA 26 Oktober – ‘Pelaburan’ untuk kemajuan bidang akademik khususnya aliran pendidikan agama Islam sentiasa diberikan keutamaan oleh Kerajaan Negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri Melaka akan terus komited dalam menyokong perkara itu kerana pendidikan agama merupakan pelaburan yang mesti dijana demi kelangsungan dan ketamadunan bangsa, negeri serta negara pada masa hadapan.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, tidak dinafikan, peranan bidang pendidikan sejak dahulu sehinggalah beralih kepada sistem digital masa kini amat penting dalam melahirkan modal insan berilmu, sekali gus menyokong arus pembangunan kemajuan negara yang holistik.
“Namun kemenjadian anak-anak bukan sahaja diukur berdasarkan prestasi akademik semata-mata, tetapi ia juga meliputi aspek sahsiah diri.
“Pengukuran yang holistik pastinya melahirkan insan yang terdidik dan mampu bersaing di persada global kerana dunia hari ini menuntut modal insan yang berjiwa kental dalam menyusuri dunia tanpa sempadan,” kata Ketua Menteri ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukaneka Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Peringkat Negeri Melaka di Padang Bola Sepak Seri Jeram, Masjid Tanah, hari ini.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim.
Acara berkenaan dijayakan hasil komitmen Bahagian Pendidikan JAIM dengan kerjasama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
Berikutan itu beliau berharap semua pihak, termasuk para ibu bapa dan masyarakat untuk terus memberi sokongan dan kerjasama terhadap program-program yang dianjurkan oleh Tadika JAIM demi membentuk anak-anak Melaka yang Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat.
“Sekali lagi, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada anak-anak cilik yang mewakili zon masing-masing dalam pelbagai acara yang dipertandingkan pada kali ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.