MARI BERSAMA REALISASIKAN PEMBINAAN MASJID PULAU BESAR

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

TELOK MAS 26 Oktober – Sejumlah lebih RM60 juta lagi diperlukan bagi merealisasikan pembinaan Masjid Pulau Besar yang bakal menjadi mercu tanda baharu pelancongan Islam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pembinaan masjid yang menelan anggaran kos RM63 juta itu dirancang dibina di pulau berkenaan dengan kapasiti 1,500 jemaah.

Jelas beliau, setakat 24 Oktober, tabung saham wakaf bagi pembinaan masjid berkenaan telah mencecah lebih RM2.3 juta.

“Terima kasih diucapkan kepada 10 penyumbang saham wakaf terdiri daripada agensi korporat dan individu yang telah memberi sumbangan berjumlah RM35,250, sekali gus menjadikan jumlah kutipan terkini berjumlah RM2,328,608.96.

“Kutipan berbaki sebanyak RM60,671,391.04 diperlukan lagi bagi merealisasikan pembinaan Masjid Pulau Besar itu,” katanya.

Terdahulu Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengiringi Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam mengadakan lawatan ke Pulau Besar, semalam.

Tun Dr. Mohd Ali turut menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan wakaf bagi pembinaan Masjid Pulau Besar dan menunaikan solat Jumaat di Madrasah Pulau Besar.

Turut bersama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim; Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad; Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Azzeman Omar serta Pengarah Maritim Negeri Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada tabung saham wakaf Masjid Pulau Besar boleh menghubungi MAIM di talian 06-2837416.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2125
Kongsi :
Previous post GEMA QASIDAH, SELAWAT SINARI AYER MOLEK
Next post KEBAJIKAN WARGA EMAS, ANAK ISTIMEWA MELAKA JADI TUMPUAN 2025
Ubah saiz-+=