SCOOT BUKA LEMBARAN BAHARU PENERBANGAN MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TANJUNG BIDARA 25 Oktober – Penerbangan bersejarah dari Singapura-Melaka-Singapura oleh Scoot membuka satu lembaran baharu dalam industri penerbangan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemilihan Melaka sebagai hab penerbangan serantau oleh syarikat penerbangan tambang murah Singapura itu merupakan satu perkembangan terbaik dalam menghubungkan Melaka kepada dunia.

Jelas beliau, menerusi penerbangan itu, ia dapat memudahkan pelancong-pelancong dari luar negara menjadikan Melaka sebagai antara destinasi percutian.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) bakal menjadi hab penerbangan lima kali seminggu oleh Scoot dengan menawarkan tiket penerbangan pada harga yang murah dan ia juga dapat menjimatkan masa dan kos.

“Jadi ini satu perkembangan yang sangat baik dalam mewujudkan penerbangan serantau melalui Melaka dan seterusnya menjangkau dunia melalui LTAM di Batu Berendam dengan membolehkan pelancong-pelancong dari luar negara datang ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan dan Perasmian Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung Sekolah Di Negeri Melaka 2024 di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak, di sini, hari ini.

Whatsapp Image 2024 10 25 At 13.53.04
AB Rauf menandatangani plak dan seterusnya merasmikan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung Sekolah Di Negeri Melaka 2024 di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Ruji Ubi; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan, Scoot juga bercadang untuk melebarkan jajarannya dengan mewujudkan penerbangan serantau ke Sumatera melalui Melaka.

“Ia bermaksud LTAM bakal menjadi hab untuk menyambung penerbangan ke mana-mana sahaja, termasuklah Medan dan Padang di Sumatera, Indonesia,” ujarnya.

Pada 23 Oktober lalu, Melaka Hari Ini melaporkan Scoot melakar sejarah baharu untuk Negeri Melaka apabila selamat mendarat di LTAM dengan membawa 112 penumpang dari Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Penerbangan pesawat Embraer E190-E2 itu selamat mendarat pada jam 2.55 petang dan pesawat sama kemudiannya berlepas dari LTAM ke Singapura dengan membawa 107 penumpang.

Penerbangan Scoot ke Melaka dijadual beroperasi lima kali seminggu iaitu setiap Isnin, Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 23 Oktober, selain turut menyediakan penerbangan pada hari-hari tertentu untuk memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang terutama bagi mereka yang mahukan waktu perjalanan lebih fleksibel.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

109
Kongsi :
Previous post 5 SEKOLAH DI MELAKA TERIMA DEWAN TERBUKA BERBUMBUNG
Next post TAMAN KARAVAN BAHARU DI JASIN
Ubah saiz-+=