MINGGU SAINS NEGARA MELAKA LEPASI SASARAN AWAL
BANDARAYA MELAKA 25 Oktober – Susunan acara yang menarik dan berinovasi pada Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Melaka 2024 dianggarkan berjaya menarik lebih banyak penyertaan tahun ini.
Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Profesor Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini berkata, setakat ini seramai 12,000 telah mengesahkan kehadiran ke program tahunan itu secara dalam talian (online), selain ada pengunjung secara fizikal.
Katanya, sambutan peserta terhadap pertandingan yang dianjurkan juga amat memberangsangkan.
“Awalnya kita hanya menyasarkan seramai 10,000 pengunjung sahaja untuk MSN kali ini tetapi buat masa ini kita dapat 2,000 penyertaan secara fizikal manakala 12,000 secara ‘online’.
“Insya-Allah selama dua hari sambutan yang berlangsung 28 dan 29 Oktober nanti, kita percaya jumlah itu boleh menaingkat kepada lebih 15,000 pengunjung akan hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program bual bicara ‘Kokenut Shake’ Dulu Special yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Ruziah Shafei di Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Melaka, di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Ruziah, penganjuran MSN yang merupakan cabang daripada pembudayaan Sains dan Teknologi perlu diterokai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Justeru katanya, sokongan daripada semua pihak termasuk ibu bapa terhadap program ini diperlukan bagi merealisasikan hasrat tersebut.
“MOSTI mengharapkan lebih ramai pengunjung akan datang melibatkan pelajar-pelajar sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) juga ibu bapa akan turut serta.
“Saya lihat banyak program di UiTM yang sangat menarik hasil kerjasama pelbagai agensi dan industri terlibat secara langsung,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.