100,000 PENGUNJUNG DIJANGKA MERIAHKAN KUAM 2024

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Oktober – Lebih 100,000 pengunjung termasuk pelancong asing dijangka hadir bagi memeriahkan penganjuran Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam dari 31 Oktober hingga 3 November ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, penyertaan lebih 40 aset udara dan pameran kenderaan berperisai milik Tentera Darat Malaysia (TDM) menjadikan KUAM 2024 lebih meriah.

Berdasarkan persiapan rapi dan pelbagai jenis aset dipamerkan, Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, menaruh keyakinan tinggi KUAM 2024 mampu mencapai sasaran 100,000 pengunjung, sekali gus mengatasi rekod lebih 60,000 orang dicatatkan pada edisi lalu.

“Antara pengisian KUAM 2024 adalah pameran statik pelbagai jenis pesawat awam dan tentera serta pertunjukan udara, selain itu pengunjung berpeluang merasai pengalaman menaiki helikopter dengan bayaran paling minimum. Bagi pengunjung khususnya ibu bapa bercadang membawa anak-anak ke KUAM 2024 mereka dinasihatkan supaya melakukan pembelian tiket lebih awal.

“Pembelian awal ini bagi mengelakkan pengunjung daripada terpaksa beratur panjang dan menunggu lama untuk masuk ke tapak pameran nanti,” katanya ketika ditemui selepas bersiaran pada Program Apa Khabau YB di Melaka FM, hari ini.

Selain memastikan kemudahan untuk pengunjung lengkap dan mencukupi, Hameed berkata, pihak penganjur sudah merangka pelan agar penganjuran KUAM tidak menimbulkan kesulitan kepada orang ramai sekitar LTAM termasuk kemungkinan kesesakan lalu lintas.

“Bagi mengurangkan risiko kesesakan lalu lintas kenderaan awam atau persendirian tidak dibenarkan diparkir dalam kawasan LTAM. Pengunjung dinasihatkan untuk meninggalkan kenderaan mereka di Pasar Raya Econsave Batu Berendam atau lokasi berhampiran kerana penganjur akan sediakan kenderaan perantara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

429
Kongsi :
Previous post PESARA BOMBA DIPENJARA ENAM BULAN, DENDA RM4,500 AJAR ANAK AJARAN SALAH
Next post MELAKA JADI BANDARAYA BUDAYA ASEAN
Ubah saiz-+=