KEPENGERUSIAN ASEAN 2025: MALAYSIA BERHASRAT PERKUKUH HUBUNGAN SERANTAU

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 23 Oktober – Malaysia akan memanfaatkan pelantikan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan bagi memperkukuhkan lagi kerjasama antara negara di rantau ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kerjasama itu perlu dimanfaatkan demi meningkatkan lagi inisiatif pelancongan, seterusnya mempromosikan hubungan lebih baik yang bakal menghasilkan pertumbuhan ekonomi memakmurkan seluruh negara ASEAN.

Katanya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus menjalin kerjasama strategik termasuk kolaborasi bersama syarikat penerbangan antarabangsa untuk meningkatkan promosi serta merangsang permintaan pelancongan.

“MOTAC akan terus membentuk kerjasama strategik dan kolaborasi dengan syarikat penerbangan antarabangsa bertujuan meningkatkan promosi dan merangsang permintaan pelancongan.

“Matlamat utama kami adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan dalam peta pelancongan global,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Pesawat Scoot ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco, Timbalan Exco serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, King Sing memaklumkan bermula Januari hingga September tahun ini, Malaysia menerima 18.4 juta pelancong antarabangsa, iaitu peningkatan sebanyak 27.0 peratus berbanding tempoh sama 2023.

Jelasnya, pencapaian itu mencerminkan kejayaan strategi pelancongan Malaysia yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi mampan tanpa mengabakan kesejahteraan komuniti.

“Pelancong dari Singapura pula, Malaysia menerima sejumlah 6.5 juta ketibaan bagi tempoh Januari hingga September 2024, angka itu meningkat 10.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Pertumbuhan ini menekankan status Malaysia sebagai destinasi pilihan negara jiran kita dan komitmen kami terhadap nilai-nilai kerjasama serta kemakmuran bersama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

55
Kongsi :
Previous post CADANG SCOOT TEROKA LALUAN BAHARU
Next post MENTERI KEBUDAYAAN, KESENIAN ASIA TENGGARA BERMESYUARAT DI MELAKA
Ubah saiz-+=