‘SANDBAG’ KURANGKAN RISIKO HAKISAN PANTAI PUTERI

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KLEBANG 23 Oktober – Hakisan teruk yang berlaku di pesisir Pantai Puteri sebelum ini dapat dikurangkan menerusi projek penempatan ‘sandbag’ yang dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliram, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, projek pelan jangka pendek itu telah dimulakan sementara menunggu peruntukan RM20 juta oleh Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA).

Menurut beliau, walaupun projek itu tidak dapat menangani sepenuhnya isu hakisan yang berlaku khususnya ketika perubahan angin dan fenomena air pasang besar, namun ia sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada komuniti di kawasan tersebut, termasuk pengunjung.

Img 20240519 190908 404
RAIS.

“Ini adalah langkah awal yang menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri cakna dan tidak membiarkan sesuatu isu yang berlaku.

“Namun, pelan jangka pendek ini tidak dapat memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah hakisan, atas sebab itu, kita akan terus mengejar dan memohon kepada PETRA untuk menyegerakan projek jangka panjang dengan peruntukan RM20 juta yang telah diluluskan.

“Kita percaya, projek jangka panjang itu akan memberi impak kepada masalah hakisan yang berlaku di Pantai Puteri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Peringkat Parlimen Tangga Batu di Japerun Klebang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Adun Pantai Kundor yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta Pengarah JKM Negeri Melaka Halyjah Muhammad.

Menurut Rais, projek menangani hakisan bernilai RM20 juta itu kini sedang dalam proses lantikan kontraktor.

Justeru beliau berharap projek itu dapat dimulakan sama ada pada penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

231
Kongsi :
Previous post CAHAYA DEEPAVALI BUAT 140 WARGA TANGGA BATU
Next post 3 PUSINGAN ‘U’ BERTINGKAT DARI PULAU GADONG KE CHENG
Ubah saiz-+=