CAHAYA DEEPAVALI BUAT 140 WARGA TANGGA BATU

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KLEBANG 23 Oktober – Seramai 140 masyarakat India dari Parlimen Tangga Batu disantuni menjelang perayaan Deepavali tidak lama lagi.

Kesemua mereka datangnya dari empat buah Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu merangkumi Paya Rumput, Klebang, Pantai Kundor dan Sungai Udang yang diberikan sumbangan wang tunai dan cenderahati.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliram, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada masyarakat berbilang kaum di negeri ini setiap kali tiba musim perayaan.

Beliau yang juga Penyelaras Parlimen Tangga Batu berkata, sumbangan itu diberikan kepada golongan sasar iaitu masyarakat India kurang bernasib baik bagi membantu meringankan beban mereka pada pesta cahaya yang disambut tahun ini.

“Saya mewakili masyarakat dari Parlimen Tangga Batu mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik setiap kali perayaan.

“Inilah indahnya masyarakat berbilang kaum yang ada di Melaka, di mana setiap kali perayaan, kita akan pastikan tidak ada yang terpinggir daripada menerima sumbangan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Peringkat Parlimen Tangga Batu di Japerun Klebang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Adun Pantai Kundor yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta Pengarah JKM Negeri Melaka Halyjah Muhammad.

Rais yang juga Adun Paya Rumput memaklumkan, selain penyampaian sumbangan, pihaknya juga bercadang menganjurkan jamuan Deepavali untuk masyaralat India di Parlimen Tangga Batu dalam menambah seri perayaan tahun ini.

“Tahun ini kita akan adakan (jamuan Deepavali) bersama semua wakil rakyat di bawah Parlimen Tangga Batu cuma tarikh, waktu dan lokasinya akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

120
Kongsi :
Previous post TINGKAT KEFAHAMAN WARGA MPJ MENGENAI SSPA
Next post ‘SANDBAG’ KURANGKAN RISIKO HAKISAN PANTAI PUTERI
Ubah saiz-+=