PENEMPATAN BAHARU UNTUK MASYARAKAT ORANG ASLI BERAGAMA ISLAM

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TABOH NANING 23 Oktober – Penempatan baru untuk masyarakat Orang Asli beragama Islam diharap dapat dibina di Bukit Payong, di sini, dalam usaha mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan harmoni terutamanya buat mereka yang bergelar saudara baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, jumlah masyarakat Orang Asli memeluk Islam di kawasan itu semakin meningkat meskipun jumlahnya tidak begitu besar.

Beliau yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, berkata berikutan itu perancangan bagi mewujudkan penempatan untuk saudara baharu dalam kalangan masyarakat Orang Asli perlu dilakukan sekarang.

Jelasnya, Kerajaan Negeri sebelum ini menerusi agensi dan jabatan berkaitan sudah menyalurkan bantuan termasuk dana bagi membina kediaman baharu untuk lima keluarga yang memeluk Islam.

Zulkiflee berkata, inisiatif dicadangkan bukan sahaja bertujuan untuk menyediakan kediaman untuk mereka berkenaan, sebaliknya membantu saudara muslim memulakan kehidupan baharu dalam suasana yang lebih berkualiti.

“Besar harapan saya sekiranya Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dapat menyediakan satu penempatan baharu untuk saudara baharu kita ini, mungkin boleh sediakan satu kawasan perumahan mini atau kecil untuk mereka.

“Saya percaya, dengan adanya penempatan baharu nanti akan mendorong saudara baru kita untuk mendalami Islam dengan lebih mendalam, sekali gus meningkatkan kefahaman mengenai Islam.

“Sekarang ini kita menunggu persetujuan daripada pihak berkenaan untuk fasa pelaksanaan, soal tapak bagi saya tidak ada masalah kerana kita sudah kenal pasti lokasi yang sesuai,” katanya.

Mesra dengan panggilan Acik Zul dalam kalangan penduduk Taboh Naning, Zulkiflee berkata, dalam menarik lebih ramai masyarakat Orang Asli memeluk Islam, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersama JAKOA merangka serta menyusun pelbagai program.

“Banyak program keagamaan sudah dilaksanakan yang mana turut membabitkan masyarakat Orang Asli bertujuan untuk memantapkan lagi keimanan mereka.

“Menariknya juga di Bukit Payong ini, Sekolah Rendah Agama (SRA) turut dihadiri oleh murid-murid yang bukan beragama Islam, mereka secara sukarela turut serta malah lengkap berpakaian baju kurung dan Melayu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

86
Kongsi :
Previous post WUJUDKAN SEMBILAN LAGI NADI DI MELAKA
Next post ‘CICAK’ DICEKUP SELEPAS PECAH MASUK 22 RUMAH
Ubah saiz-+=