‘CICAK’ DICEKUP SELEPAS PECAH MASUK 22 RUMAH
AYER KEROH 23 Oktober – Lelaki dikenali dengan nama panggilan ‘Cicak’ ditahan kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah sekitar daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Angkasa Nuri, pada jam 4.20 petang 16 Oktober lalu.
“Kami percaya suspek mula aktif dalam kegiatan pecah rumah sejak awal tahun ini dan berdasarkan laporan diterima daripada pemilik kediaman, setakat ini dia dipercayai terbabit dalam 22 kes.
“Hasil siasatan dijalankan, suspek memecah masuk kediaman tidak berpenghuni untuk mencuri barangan berharga dan dia digelar cicak kerana bergerak seorang diri ketika melakukan jenayah ini,” katanya.
Menurut Md Nazri, selain menahan suspek pihaknya turut merampas pelbagai barangan berharga yang dipercayai diperoleh hasil daripada kegiatan jenayah, selain sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.
“Antaranya barangan dirampas adalah 10 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 10 beg pakaian, empat utas rantai emas, 11 bentuk cincin emas dan empat gelang emas yang kesemuanya dianggarkan bernilai kira-kira RM150,000. Hasil ujian saringan awal air kencing dijalankan juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Jelasnya, dengan tertangkapnya suspek itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 22 kes pecah rumah sekitar Alor Gajah dan Melaka Tengah.
“Suspek kini direman selama 10 hari sehingga 25 Oktober, ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.