BEKALAN BARANGAN KEPERLUAN ‘JUALAN RAHMAH’ AKAN DITAMBAH BAIK

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 21 Oktober – Bekalan barangan keperluan Jualan Rahmah di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata ia berikutan permintaan terhadap barang keperluan pada setiap kali penganjuran Jualan Rahmah adalah sangat tinggi.

“Ini salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk memperhebatkan lagi Jualan Rahmah yang menawarkan barang keperluan pada harga berpatutan di semua DUN pada setiap bulan.

“Ada sesetengah kawasan taman perumahan mempunyai penduduk yang ramai dan permintaan untuk barang keperluan ini sangat tinggi.

“Justeru dengan peruntukan Kerajaan Pusat berikan, kita akan dapat menambah lagi bekalan barang keperluan pada Jualan Rahman akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Allex turut berharap pihak pembekal dapat menambah kuantiti barangan keperluan yang sering mendapat permintaan tinggi setiap kali Jualan Rahmah.

“Kalau ada pembekal besar yang sudi memberikan bekalan dalam kuantiti banyak, maklumkan saja kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri,” katanya.

Jumaat lalu menerusi pembentangan Belanjawan 2025 kerajaan menyediakan RM1 bilion untuk menganjurkan ikhtiar menangani kos sara hidup dengan lebih meluas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia termasuk memperhebat Jualan Rahmah bagi menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua DUN pada setiap bulan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

81
Kongsi :
Previous post TERAPI SENI DI SUNGAI MELAKA, 25-27 OKTOBER INI
Next post JAMUAN DEEPAVALI MELAKA TAMPIL MENU ‘ALA MALAYSIA’
Ubah saiz-+=