TIADA JEJAK HARIMAU KUMBANG, PERHILITAN MELAKA PASANG PERANGKAP KAMERA

Masa Membaca:57 Saat

ALOR GAJAH 20 Oktober – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Melaka tidak menemui sebarang jejak mengaitkan kehadiran harimau kumbang di Kampung Bukit Tampoi, Alor Gajah.

Ia susulan kejadian enam ekor kambing ternakan disyaki dibaham haiwan liar itu dalam kejadian petang semalam.

Pengarah PERHILITAN Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan pagi tadi, namun tidak menemui sebarang kesan tapak harimau kumbang di lokasi kejadian.

Malah, siasatan itu juga mendapati tiada hutan simpan berhampiran kampung tersebut.

Susulan itu, katanya, pihaknya akan meneruskan siasatan dan tindakan lanjut dengan memasang perangkap kamera di kawasan berkenaan bagi mengenal pasti spesies yang terlibat.

“Selain itu, perangkap harimau juga akan dipasang di lokasi kejadian esok,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita.

Menurut Petra, penternak telah melupuskan bangkai haiwan terlibat dan saki-baki kambing ternakannya telah dipindahkan ke kampung lain.

Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan seorang penternak kerugian ribuan ringgit selepas enam ekor kambing ternakannya ditemui mati dengan kesan gigitan, petang semalam.

Menurut pengadu, lima ekor kambingnya ditemui mati di dalam kandang, manakala seekor lagi ditemui dalam jarak 200 meter dari kandang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

169
Kongsi :
Previous post HARIMAU KUMBANG DISYAKI BAHAM KAMBING DI ALOR GAJAH
Next post PEMILIK BANGUNAN HARAM RUNTUH BERDEPAN KOMPAUN RM50,000
Ubah saiz-+=