BELANJAWAN 2025 ‘KUATKAN’ HARIMAU MALAYA

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BANDARAYA MELAKA 19 Oktober – Pembentangan Belanjawan 2025 yang memperuntukkan RM15 juta bagi tujuan pembangunan bola sepak disambut baik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Naib Presiden FAM, Mohd. Firdaus Mohamed menyifatkan peruntukan tersebut sebagai usaha serius dalam memperkasakan skuad Harimau Malaya.

Menurutnya, ia juga membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat prihatin terhadap pembangunan bola sepak negara yang juga sukan nombor satu rakyat.

“Para penggiat bola sepak, lebih-lebih lagi FAM menyambut baik pengumuman Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri dan kami mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan beliau menyalurkan dana yang begitu banyak semata-mata memperkasakan skuad Harimau Malaya.

“Saya berharap peruntukan dari kerajaan ini bukan setakat itu sahaja, tetapi berterusan kerana umum mengetahui, bola sepak memerlukan dana yang banyak bagi menampung pelbagai jenis program pembangunan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan Piala Agong di Stadium Hang Tuah, di sini, semalam.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) berkata, harapan FAM adalah mahu melihat sumbangan bukan sahaja dari pihak kerajaan, malah pihak swasta dalam usaha memperkasa bola sepak negara.

“Bagi pihak FAM, kami amat memerlukan sumbangan penajaan dari pihak swasta dan adalah besar harapan kami untuk melihat penglibatan semua pihak dalam menjayakan program pembangunan bola sepak negara bagi memantapkan skuad Harimau Malaya,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

40
Kongsi :
Previous post TIDAK LAGI MENUMPANG RUMAH PUSAKA
Next post BELANJAWAN 2025 BAWA BERITA GEMBIRA UNTUK DUN PAYA RUMPUT
Ubah saiz-+=