MELAKA SAMBUT BAIK BELANJAWAN 2025

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 18 Oktober – Pembentangan Belanjawan 2025 dengan tema ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’, oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, disambut baik Kerajaan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, belanjawan dengan peruntukan keseluruhan RM421 bilion itu jelas menunjukkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan dalam memastikan struktur ekonomi di negara ini berada dalam kedudukanyang kukuh dan stabil.

Beliau turut berbesar hati di atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan untuk projek-projek di Negeri Melaka seperti Pembinaan Pusingan U Bertingkat dan Direct U-Turn dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana, Melaka Tengah; Pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral dan Pembinaan Balai Polis baharu di Tanjung Minyak.

Ab Rauf turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas pengumuman projek secara pendekatan Kerjasama Awam Swasta atau ‘Public Private Partnership’ (PPP) iaitu Pembinaan Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) bagi Jajaran Banting ke Gelang Patah.

“Pada pandangan Kerajaan Negeri, jajaran ini akan memberi manfaat kepada Negeri Melaka kerana menyediakan alternatif untuk pengguna jalan raya ke Melaka selain Lebuh Raya Utara Selatan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri, hari ini.

Menurut Ab Rauf, Belanjawan 2025 turut menyediakan peruntukan untuk pembangunan TVET, bantuan pendidikan, infrastruktur kesihatan, pembangunan usahawan, mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan, kesejahteraan pesawah dan nelayan, bantuan dan pembiayaan perniagaan serta kemudahan penjaja dan peniaga kecil.

Ini jelasnya akan turut memberi manfaat kepada rakyat dan Negeri Melaka termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Melaka untuk menyediakan projek-projek bagi kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan komitmen untuk merangka pelbagai inisiatif seperti bantuan-bantuan kebajikan, menstruktur pembangunan, merencana program-program inklusif dan sebagainya berdasarkan keperluan sasaran setiap golongan rakyat di Negeri Melaka yang akan dibentangkan di Persidangan Dewan Belanjawan Negeri Melaka 2025 yang dijangka pada 9 hingga 12 Disember depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

53
Kongsi :
Previous post PENYASARAN SUBSIDI: KERAJAAN JAMIN PERTAHAN KEPENTINGAN RAKYAT TERBANYAK – PM
Next post BANTUAN KHAS KEWANGAN RM500 KEPADA PENJAWAT AWAM, RM250 KEPADA PESARA
Ubah saiz-+=