UTARA MELAKA JADI KAWASAN EKONOMI BAHARU MASA DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LINGGI 18 Oktober – Kawasan utara Melaka membabitkan Kuala Linggi hingga ke Masjid Tanah bakal menjadi kawasan ekonomi baharu masa depan negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia susulan beberapa projek baharu antaranya pembinaan lebuh raya pesisir pantai West Coast Expressway menghubungkan Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor bakal direalisasikan.

Jelas Ab Rauf, projek yang memberi impak kepada perhubungan antara negeri itu merupakan antara harapan yang dizahirkan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Majlis Ekonomi Wilayah Tengah, baru-baru ini.

“Ketika itu, Perdana Menteri bertanya apa yang Melaka mahu? Saya kata Melaka hanya mahukan satu sahaja iaitu ‘interstate connectivity’ supaya Melaka boleh berhubung dengan Johor, Negeri Sembilan dan Selangor tanpa perlu melalui kesesakan yang luar biasa, di mana Lebuh Raya Utara Selatan kini tidak dapat menampung kebanjiran kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan selama berjam-jam.

“Alhamdulillah, cadangan saya disokong Menteri Ekonomi serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri iaitu menghubungkan semula Melaka dengan Banting melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, Masjid Tanah hinggalah ke Gelang Patah, Johor.

“Pengaktifan semula Lebuh Raya West Coast Expressway ini antara yang akan diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2025 dan ia dijangka akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet, sebelum diserah kepada UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta) dan dibuka kepada pembida dengan konsep bida terbuka kepada pihak swasta secara PFI (Inisiatif Pembiayaan Swasta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan kerja dan merasmikan pejabat tapak Kuala Linggi International Port (KLIP), di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, kewujudan lebuh raya baharu itu dijangka akan membawa limpahan ekonomi baharu kepada kawasan terlibat, selain dapat memendekkan jarak di antara Melaka dengan negeri sekitar.

“Jika direalisasikan, jarak dari Kuala Linggi ke KLIA dijangka hanya sekitar 72 kilometer (km) sahaja.

“Jadi, bersedialah menghadapi satu landskap baharu ekonomi di kawasan utara Melaka ini dengan lebuh raya yang bakal dibina, selain sebuah pelabuhan bertaraf antarabangsa dan kawasan perindustrian baharu di kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

844
Kongsi :
Previous post BANJIR: KERAJAAN ARAHKAN PENYALURAN SEGERA RM150 JUTA KEPADA PBT, JPS – PM ANWAR
Next post RM550 JUTA DIPERUNTUK RANCAKKAN AKTIVITI PELANCONGAN
Ubah saiz-+=