Sorting by

×

ROHINGYA DI LIMBONGAN KENA GEMPUR

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KESIDANG 19 Oktober – Isu kebanjiran warga Rohingya di Kampung Kolam, Limbongan, di sini, dipandang serius oleh Kerajaan Negeri dengan tindakan lebih tegas akan diambil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Limbongan, Allex Seah Shoo Chin berkata, langkah awal telah diambil dengan mengadakan operasi bersepadu bersama pelbagai agensi, baru-baru ini.

Jelas beliau, antara agensi terlibat adalah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Melaka, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Polis Diraja Malaysia, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan pemimpin setempat.

Allex yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, antara kesalahan yang dikesan dalam operasi itu adalah ada di antara warga Rohingya di kawasan itu tidak mempunya kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), selain ada juga yang menunggang motosikal tanpa lesen.

Selain itu, beliau memaklumkan, ada di antara warga Rohingya itu bertindak melarikan diri sebaik mengetahui kedatangan agensi Kerajaan.

“Saya ingin menegur secara tegas kepada tuan rumah yang telah menyewa rumah kepada warga Rohingnya tanpa memantau had jumlah dalam sesebuah rumah.

“Malah, ada juga mereka yang tidak bertanggungjawab menyewa kenderaan kepada orang Rohingnya yang tanpa lesen, di mana ia dikhuatiri akan menyusahkan orang lain sekiranya tidak dibendung,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.

Tambah Allex, selepas operasi tersebut, tindakan lanjut akan diambil dalam masa terdekat bagi memastikan isu kebanjiran warga Rohingya di Limbongan dapat dikawal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

220
Kongsi :
Previous post SELANGOR JULANG PIALA AGONG
Next post TIDAK LAGI MENUMPANG RUMAH PUSAKA
Ubah saiz-+=