KETUA MENTERI SUMBANG ‘CHAINSAW’ UNTUK SEMUA BALAI BOMBA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

MASJID TANAH 18 Oktober – Semua balai bomba dan penyelamat (BBP) di Negeri Melaka akan menerima sumbangan berupa seunit gergaji rantai atau ‘chainsaw’ sumbangan Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan itu sebagai tanda terima kasih Kerajaan Negeri terhadap jasa dan pengorbanan anggota bomba di negeri ini.

Jelas beliau, sumbangan tersebut juga diharap dapat melancarkan segala gerak kerja dan tugas menyelamat oleh anggota bomba di negeri ini menjelang ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal bulan depan.

“Disebabkan ketibaan Monsun Timur Laut, selain ketidaktentuan cuaca sejak akhir-akhir ini, saya mengumumkan setiap balai bomba di Melaka akan meneruma sumbangan berupa seunit ‘chainsaw’.

“Peralatan ini amat penting dalam menyelesaikan insiden atau bencana yang berlaku seperti kejadian pokok tumbang dan sebagainya, jadi kita berharap bantuan ini dapat melancarkan tugas ‘abang-abang’ bomba untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Lawatan Kerja YAB Ketua Menteri Ke Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Negeri Melaka Pesuruhjaya Bomba, Mohd Pisar Aziz dan lain-lain kenamaan.

Pada lawatan itu, Ab Rauf turut menyantuni kesemua anggota bomba bukan sahaja di Masjid Tanah, tetapi juga seluruh Negeri Melaka menerusi alat komunikasi radio.

Ketua Menteri turut menabik jasa, pengorbanan dan keringat oleh anggota bomba di negeri ini yang bukan sahaja membantu dalam penyelamatan, tetapi juga aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

“Saya turut berbangga apabila kerjaya bomba ini menjadi antara kerjaya pilihan generasi baharu untuk memberikan khidmat bakti membantu masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

100
Kongsi :
Previous post BOMBA MELAKA BANTU LATIH PARAMEDIK KOMUNITI
Next post SUKARELAWAN SATRIA BERSIHKAN RUMAH MANGSA BANJIR
Ubah saiz-+=