DOA IBU TUNGGAL OKU MILIKI RUMAH SENDIRI TERMAKBUL

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PANTAI KUNDOR 18 Oktober – “Alhamdulillah Allah SWT bagi peluang dan kabulkan doa makcik, setiap kali solat pada sujud akhir makcik berdoa agar diberikan rezeki miliki rumah sendiri,” kata Noor’ Ainita Md Nor, 54.

Ibu tunggal kepada dua anak ini berkata sejak bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) enam tahun lalu kehidupannya sekelip mata berubah dan mengharapkan bantuan kedua anaknya untuk menguruskan kehidupan harian.

“Alhamdulillah rezeki tidak disangka walaupun rumah yang disewa sekarang ini di Taman Pengkalan Indah Alor Gajah tidak boleh lagi didiami tetapi rezeki Allah itu luas, kini makcik ada rumah sendiri.

“Makcik mohon rumah Program Residensi Rakyat (PRR) Tangga Batu ini seminggu sebelum tarikh tutup pada Disember 2022, itu pun kawan yang bantu ambilkan borang.

“Tak sangka pula bulan Julai lalu dapat panggilan bahawa makcik layak menerima rumah PRR ini dan paling mengejutkan dapat rumah unit khas untuk OKU seperti makcik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah PRR Tangga Batu di sini, semalam.

Berkongsi kegembiraan Noor’ Ainita berkata dengan adanya rumah baharu itu keselamatannya lebih terjamin memandangkan rumah sewanya sebelum ini pernah dimasuki pencuri sebanyak tiga kali.

“Anak bongsu makcik lelaki kerja di Ipoh, kakaknya kerja di Melaka tetapi pulang sudah lewat petang dan bila mereka pergi kerja makcik hanya berbaring di atas katil.

“Sebab itu makcik mahukan sangat rumah ini sebab rasa lebih selamat biarpun anak-anak tiada di rumah, rumah sewa sebelum ini banyak kali dipecah masuk jadi makcik risau apa-apa berlaku.

“Bayaran sewa rumah PRR ini hanya RM320 yang akan dibayar oleh anak lelaki manakala bil api dan air dibayar oleh anak perempuan makcik,” katanya.

Ditanya bila akan berpindah masuk ke rumah PRR berkenaan, Noor’ Ainita memilih tarikh 3 November bagi memastikan segala urusan perpindahan berjalan lancar.

“Makcik pindah masuk awal November nanti sebab mahu uruskan hal-hal berkaitan termasuk mengadakan doa selamat sedikit apabila pindah nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

89
Kongsi :
Previous post BELANJAWAN 2025: DANA TVET MENINGKAT KEPADA RM7.5 BILION
Next post POLIS JASIN POTONG BEKALAN ELEKTRIK DI LIMA PREMIS JUDI HARAM
Ubah saiz-+=