PRR PERTAMA DI MELAKA SEDIA UNIT KHAS UNTUK OKU

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PANTAI KUNDOR 17 Oktober – Tidak hanya memfokuskan kediaman untuk golongan berpendapatan rendah, Program Residensi Rakyat (PRR) Tangga Batu, turut menyediakan unit khas kepada orang kurang upaya (OKU).

Perkara itu dilaksanakan hasil keprihatinan Kerajaan Negeri menerusi peruntukan diberikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif pertama kali dilaksanakan di Melaka itu memberi kelegaan kepada 120 keluarga memerlukan.

“Alhamdulillah penyewa PRR menerima kunci dan mereka kini boleh menduduki rumah sendiri. Kerajaan Pusat membelanjakan sebanyak RM23.2 juta yang mana kos pembinaan setiap unit rumah yang diperuntukkan adalah RM191,250.

“Mewakili Kerajaan Negeri saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat khususnya KPKT kerana merealisasikan harapan rakyat terutama penduduk Parlimen Tangga Batu,” katanya pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Penyerahan Kunci PRR Tangga Batu di PRR Tangga Batu, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @Mohd Hasim.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Suhaimi Ali@Ahmad; Penasihat Undang-Undang Negeri, Khairul Azreem Mamat; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk TPr. Murad Husin dan lain-lain kenamaan.

Jelasnya projek PRR dapat memberikan keselesaan kepada penduduk, sekali gus hidup dalam suasana yang harmoni dan berkualiti

“Alhamdulillah sehingga kini Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah membina sebanyak 1,691 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) termasuk PRR ini.

“Pecahannya adalah sebanyak 600 unit di PPR Krubong, 500 unit PPR Tehel dan PPR sungai Putat 366 unit dan yang masih dalam pembinaan dijangka siap tahun hadapan iaitu PPR Klebang sebanyak 250 unit,” katanya.

Katanya pemilik hanya perlu membayar sewa sebanyak RM320 sebulan di samping menikmati segala kemudahan disediakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

800
Kongsi :
Previous post KERAJAAN NEGERI PERMUDAHKAN URUSAN MANGSA KEBAKARAN
Next post SEMABOK PERDANA FC JUARA PIALA YB HELMY
Ubah saiz-+=