BELIA BERSAMA MAJUKAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 17 Oktober – Peranan belia amat ditagih untuk bersama-sama terus memajukan dan membangunkan Negeri Melaka pada masa akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf berkata, belia adalah sosok kepimpinan yang memikul amanah untuk mengangkat suara-suara orang muda seiring dengan peranan signifikan dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Menurutnya, tidak dinafikan terdapat segelintir golongan belia masa kini sedang giat mengembleng tenaga ke arah pembangunan masa depan negara dan sebahagian pula sedang leka dibuai keseronokan kemelut sosial.

“Namun, saya tidak melihat itu adalah suatu isu besar yang akan menggugat tanggungjawab dan peranan saudara-saudari dalam merangka hala tuju serta matlamat belia yang mencakupi pelbagai sudut seperti ekonomi, politik, sosial mahupun teknologi khususnya di Negeri Melaka.

“Justeru, Kerajaan Negeri komited memberi keutamaan dan perhatian kepada pembangunan belia di negeri ini dalam menyediakan pelbagai inisiatif dan program-program bagi melahirkan generasi muda berdaya tahan serta mampu untuk memajukan negara,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2024, berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri Mohamad Mazlan Anis serta kenamaan lain.

Sehubungan itu Ab Rauf, meminta para belia untuk aktif bersama-sama pentadbiran Kerajaan Negeri sekarang dalam proses membawa pembaharuan dan perubahan ke arah membina Melaka yang lebih lestari serta makmur cemerlang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

35
Kongsi :
Previous post DUA BERANAK MELECUR, RUMAH SEWA RENTUNG
Next post FAHAMI ASPIRASI, DENYUT NADI BELIA MELAKA
Ubah saiz-+=