DUA BERANAK MELECUR, RUMAH SEWA RENTUNG
PANTAI KUNDOR 17 Oktober – Wanita dan anak perempuannya bukan sahaja tinggal sehelai sepinggang, malah mengalami lecur pada kaki dan tangan selepas rumah sewa mereka di Kampung Bukit Gedong, Tanjung Kling, di sini musnah terbakar dalam kejadian jam 9.40 pagi tadi.
Kebakaran itu memusnahkan dua pintu rumah sewa yang dihuni dua beranak berkenaan dan jiran mereka yang tinggal bersama isteri dan empat anak.
Menceritakan kejadian itu jiran mangsa, Khairul Anuar Musa, 37, berkata, terdahulu dia yang sedang mandi untuk ke tempat kerja tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi letupan kuat sebanyak dua kali.
Berasa ada yang tidak kena Khairul Anuar, bergegas keluar dari rumah sewanya untuk mencari arah dan punca menyebabkan letupan itu
“Sejurus melangkah keluar saya melihat rumah jiran sudah terbakar dan dipenuhi asap hitam, keadaan semakin cemas apabila saya mendengar jeritan dua beranak berkenaan meminta tolong. Mahu membantu tetapi ketika itu rumah mereka dalam keadaan berkunci.
“Mujur mereka sempat menyelamatkan diri dengan keluar menerusi pintu belakang, kerana dalam masa amat singkat rumah sewa kami rentung dijilat api.
“Alhamdulillah kami semua selamat, cuma wanita berkenaan yang berusia 36 tahun dan anak perempuannya berusia tujuh tahun melecur pada kaki dan tangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Khairul Anuar bekerja di sebuah kilang berhampiran berkata, selain dokumen penting wang tunai RM200 yang disimpan untuk membeli lampin dan susu anaknya turut rentung bersama rumah yang disewa.
Ketika kejadian hanya dia dan anak lelaki berusia 17 tahun berada di rumah, manakala isteri dan tiga lagi anak mereka berada di luar.
Terduhulu Khairul Anuar menerima kunjungan Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @Mohd Hashim.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan kejadian pada jam 9.48 pagi sebelum jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dan BBP Cheng bergegas ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan terdapat dua mangsa iaitu seorang wanita dan anaknya, kedua-dua mereka ini mengalami kecederaan melecur tahap dua dibahagian tangan serta kaki.
“Mereka kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut oleh pasukan perubatan kecemasan (EMRS) selain operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.17 tengah hari.
“Punca kebakaran masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan akan dijalankan oleh pasukan forensik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.