Belanjawan Melaka 2021: Perhebat kebajikan rakyat
AYER KEROH 8 Dis. – Belanjawan Melaka 2021 yang bakal dibentangkan menerusi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bermula Rabu ini merupakan detik yang dinantikan rakyat dalam langkah memulihkan struktur ekonomi yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.
Pelbagai harapan ditaruhkan demi membina semula kestabilan ekonomi yang perlu menyentuh pelbagai aspek kebajikan rakyat di negeri ini.
Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia, Azlin Othman berkata, semua pihak mengharapkan belanjawan yang bakal diumumkan negeri ini perlu menekankan pelbagai aspek menyeluruh, holistik dan prihatin bagi menangani jurang pendapatan rakyat khususnya buat golongan berpendapatan bawah 40 peratus (B40) dan sederhana M40.
Menurutnya, peluang pekerjaan yang begitu mencabar dalam tempoh ini perlu diperluaskan dengan pelbagai peluang yang lain khususnya buat golongan belia dan wanita dalam menjana pendapatan bagi meningkatkan taraf hidup golongan tersebut.
“Harapan kepada belanjawan negeri kali ini mengharapkan agar Melaka mampu membuka laluan baharu dari segi jumlah yang sanggup dibelanjakan kerajaan negeri bagi memulakan ekonomi.
“Kerajaan negeri juga perlu membantu golongan yang paling tepat supaya dapat membantu mereka pada kadar yang lebih tinggi agar perkara ini mampu membantu mereka dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Dalam pada itu menurutnya, badan bukan kerajaan (NGO) turut memainkan peranan penting sebagai perantara antara masyarakat bagi berjuang menyantuni kebajikan rakyat dengan pelbagai inisiatif yang telah diambil.
Jelasnya, melalui hasrat itu kerajaan negeri turut perlu memfokuskan memberi bekerjasama dengan NGO di negeri ini khususnya buat agensi yang aktif bagi menghulurkan bantuan dalam menyokong pelaksanaan kempen-kempen kesihatan, kebajikan,perpaduan dan kepenggunaan.
“Perkara ini perlu ditumpukan sepenuhnya termasuk penganjuran beberapa kempen yang lain seperti inisiatif ‘food bank’ yang telah banyak membantu kebajikan para pelajar termasuk masyarakat yang terjejas,”katanya.