USAHAWAN SIPUT SEDUT DARI KAMPUNG PANCHOR
DURIAN TUNGGAL 17 Oktober – Permintaan yang tidak putus sepanjang tahun dan pulangan lumayan menyebabkan pemuda ini meneruskan jualan siput sedut yang dimulakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Anak jati Kampung Panchor, Ashaari Abdul Rahman, 28, berkata pada awalnya dia hanya berniaga secara ‘live’ menggunakan platform Facebook dan tidak menduga produk ditawarkan mendapat sambutan yang sangat luar biasa.
Berkongsi kisahnya Ashaari berkata, bermula secara kecil-kecilan, dia kini mampu menjual sehingga 2,000 kilogram (kg) siput sedut yang siap diproses dalam tempoh sebulan.
“Perniagaan siput sedut ini bermula sejak tahun 2020 ketika pelaksanaan PKP, ketika itu orang ramai tidak boleh keluar sesuka hati, jadi saya mula dengan ‘live’ jualan di Facebook. Sebelum itu saya ada jual kupang, kerang dan ikan siakap, tetapi disebabkan permintaan siput sedut sangat tinggi jadi saya fokus kepada perniagaan ini.
“Siput sedut ini saya bekalkan ke kedai atau restoran yang lebih kepada masakan salai, bekalan pula saya ambil dari Indonesia, bagi memenuhi permintaan yang tinggi,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di tempat pemprosesan siput sedut Kampung Panchor, di sini, semalam.
Menurutnya, pada kebiasaannya pembekal akan menghantar sekitar 800 kg siput sedut, berikutan itu dia perlu menggaji lapan tenaga kerja yang juga penduduk kampung untuk melaksanakan proses membersihkan dan pembungkusan.
“Kerja memproses siput sedut ini bermula jam 6 pagi hingga 8 malam, meskipun bukan bekerja setiap hari, sekurang-kurangnya dapat membantu penduduk menjana pendapatan sampingan.
“Proses ini melihatkan kerja mencuci lumpur, memotong bahagian tidak diperlukan, dibungkus dalam plastik dan dihantar ke kedai atau restoran yang membuat tempahan,” katanya.
Ashaari berkata, penghantaran siput sedut siap diproses membabitkan semua lokasi di Negeri Melaka secara percuma dan pelanggan tidak dikenakan sebarang bayaran tambahan.
“Meskipun pelanggan cuma beli satu kg penghantaran tetap percuma Biasanya siput sedut seberat satu kg dijual RM20 sebungkus, ini adalah kuantiti minimum untuk kedai makan.
“Pernah juga menerima tempahan sehingga 1,000 kg sehari, tapi alhamdulillah dengan bantuan tenaga kerja sedia ada saya dapat siapkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.