SUKAN BENTUK DISIPLIN KANAK-KANAK
DURIAN TUNGGAL 17 Oktober – Bersukan adalah antara aktiviti terbaik untuk ‘melentur’ anak-anak supaya menjadi seorang individu yang berdisiplin selain mampu bekerja secara berpasukan.
Justeru Persatuan Komuniti Taman Angkasa Nuri dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka, menganjurkan Program Cergas Bersama Si Cilik sempena Hari Sukan Negara 2024, berlangsung di Taman Angkasanuri, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil berkata, peranan persatuan komuniti amat penting dan perlu seimbang dalam memperkasa semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
“Penganjuran program ini bukan sahaja untuk mempromosikan aktiviti fizikal dalam kalangan kanak-kanak, tetapi menyemai semangat kesukanan dan kerjasama dalam diri mereka.
“Kita semua tahu sukan adalah alat yang berkesan untuk membentuk disiplin, kerja berpasukan dan semangat juang yang tinggi. Justeru menerusi program ini anak-anak dapat menunjukkan bakat dan potensi mereka kepada orang ramai,” katanya selepas merasmikan program berkenaan.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau keselamatan anak-anak mereka.
“Sejak kebelakangan ini keselamatan anak-anak di Malaysia amat membimbangkan dengan kes penderaan dan jenayah, diharap ibu bapa dapat mengambil iktibar,” katanya.
Program tersebut disertai kanak-kanak dari Tabika Kemas Tamby Chik Karim, Tabika Kemas Taman Merdeka, Tabika Taman Merdeka Jaya (A), Tabika Taman Merdeka Jaya (B) dan Tadika Comel Al-Mualllim.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.