PEMAIN INDUSTRI JERMAN SOKONG GTP

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 16 Oktober – Pelaksanaan German Technology Park (GTP) oleh Kerajaan Melaka dilihat sebagai satu anjakan paradigma dalam pembangunan ekonomi negeri untuk jangka masa panjang.

Malah aspirasi serta visi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berjaya menarik perhatian kumpulan pemain industri teknologi dari negara Jerman untuk melabur di negeri Hang Tuah ini.

Whatsapp Image 2024 10 15 At 4.19.36 Pm
FRANK Adam.

Pengarah Urusan GICON Sdn Bhd, Frank Adam, memuji usaha Ab Rauf yang disifatkannya sebagai ‘terkehadapan’ kerana bijak memilih pemain industri dari negara Jerman yang terbukti daripada segi kemodenan teknologi seiring dengan status sebagai peneraju pembangunan industri dunia.

“Mengenai visi Ketua Menteri Melaka (Ab Rauf) berkaitan GTP, saya memuji usaha Kerajaan Negeri Melaka kerana sudi untuk membuka peluang kepada pemain industri teknologi Jerman untuk melabur di negeri ini.

“Kami sebagai kumpulan industri dari Jerman sudah tentu akan menyokong aspirasi Kerajaan Negeri, saya percaya ianya dapat direalisasikan secara holistik demi pembangunan ekonomi Melaka.

“GICON adalah sebuah syarikat kejuruteraan aktif menjalankan pembangunan teknologi terutama melibatkan tenaga boleh diperbaharui demi kelestarian alam, sasaran utama kami ialah untuk berkongsi dan manfaatkan pemindahan teknologi kami ke Melaka serta Malaysia secara umumnya,” katanya.

Frank berkata demikian kepada Melaka Hari ini (MHI) ketika ditemui pada Deutscher Brand Summit 2024 Conference & Exhibition di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Whatsapp Image 2024 10 15 At 4.20.37 Pm
SEBASTIAN Machemer.

Sementara itu, Pengurus Besar Deutsche Technoplast, Sebastian Machemer menyifatkan Melaka sebagai destinasi pelaburan yang strategik dan mampu menjadi pemangkin kepada perluasan kawasan industri teknologi di Malaysia.

“Penganjuran ini amat bermanfaat untuk membina memperkukuhkan lagi jaringan antara pemain industri tempatan dan antarabangsa. Pengisian program juga amat membantu para pempamer untuk lebih berkembang daripada segi geografi industri di Melaka.

“Selain itu, menerusi program ini juga berjaya menarik perhatian beberapa syarikat dari Jerman yang lain untuk meneroka peluang ekonomi di Melaka yang bukan sahaja popular sebagai destinasi pelancongan tetapi pusat pelaburan industri pembuatan.

“Saya melihat, visi Ketua Menteri Melaka dalam memajukan Negeri Melaka ke arah lebih kondusif amat jelas. Beliau fokus menarik pelaburan dari negara Jerman, usaha ini amat disokong memandangkan Jerman mempunyai bilangan besar pemain industri yang besar dan terkehadapan daripada segi perkembangan teknologinya,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

72
Kongsi :
Previous post TAMAN INDUSTRI TEKNOLOGI HIJAU TARAF DUNIA
Next post PELAJAR TAHFIZ MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK  
Ubah saiz-+=