SYARIKAT JERMAN SELESA BEROPERASI DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KOTA LAKSAMANA 16 Oktober – Delegasi Jerman memberikan maklum balas amat positif berhubung operasi syarikat daripada negara itu yang bertapak dan melabur di Negeri Melaka.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidirah Abu Zahar berkata, selain terkenal sebagai negeri mesra pelabur, lokasi yang strategik, ekosistem dan jaringan perindustrian yang cekap antara kelebihan dimiliki Melaka.

Katanya, maklum balas diterima adalah susulan hasil lawatan 40 delegasi Jerman ke kemudahan Infineon Technologies dan Leuze milik syarikat multinasional dari negara itu yang kini bertapak di Melaka, bersempena Deutscher Brand Summit 2024 Conference & Exhibition.

“Kedudukan Melaka dekat dengan Kuala Lumpur dan Singapura, jadi tidak hairan sejak 50 tahun lalu syarikat Jerman sudah tertapak di Melaka. Perkongsian pengalaman ini meningkatkan lagi keyakinan syarikat Jerman yang lain untuk memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan mereka.

“Kerajaan Negeri membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka berminat untuk datang ke Melaka, kita menyediakan pelbagai kemudahan, tenaga kerja berkemahiran tinggi, logistik dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Bersempena Deutscher Brand Summit 2024 Conference & Exhibition diadakan di sebuah hotel di Kota Laksamana, di sini semalam.

Khaidirah berkata, Kerajaan Negeri yakin bahawa pembinaan German Technology Park (GTP) mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih positif dan meningkatkan tahap keyakinan pelabur terhadap Melaka sebagai sebuah destinasi perkilangan bertaraf dunia.

“Insya-Allah, pembinaan GTP ini mampu membawa perubahan kepada Melaka dan rakyat, usaha ini bukan sekadar menumpukan kepada sektor perindustrian semata-mata, malah ia juga melibatkan pemindahan pendidikan dan teknologi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

390
Kongsi :
Previous post BINA ‘SYURGA’ KUCING, HAIWAN TERBIAR
Next post TAMAN INDUSTRI TEKNOLOGI HIJAU TARAF DUNIA
Ubah saiz-+=