MCORP METERAI TIGA PERJANJIAN, STRATEGI RANCAKKAN GTP
AYER KEROH 15 Oktober – Perbadanan Melaka (MCORP) memeterai tiga perjanjian yang dianggap sebagai strategi penting untuk merancakkan pembangunan Taman Teknologi Jerman atau German Technology Park (GTP).
Perjanjian itu melibatkan Cypark Resource Berhad (Cypark) bagi Memorandum perjanjian (MoA) dan dua Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) iaitu German Malaysia Institute (GMI) serta pemain industri automotif Volkswagen Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata ketiga-tiga perjanjian dimeterai itu bertujuan untuk menyediakan latihan dan tenaga kerja berkemahiran dalam teknologi hijau sesuai dengan kehendak operasi GTP.
“MoU bersama GMI dan Volkswagen adalah bagi tujuan menyediakan latihan dan melahirkan tenaga kerja untuk menampung keperluan GTP yang bakal memulakan operasi tidak lama lagi.
“Manakala perjanjian utama MCORP dengan Cypark adalah sebagai penyedia perkhidmatan tenaga hijau solar. Teknologi hijau adalah salah satu elemen dalam pembangunan GTP berikutan itu kita perlu melakukan persediaan untuk memastikan bekalan tenaga diperlukan mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri majlis perasmian Deutscher Brand Summit 2024 Conference & Exhibition yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata pihak Cypark bersetuju memberikan kerjasama dalam menyediakan keperluan tenaga hijau kepada kawasan GTP.
“Pihak Cypark bersetuju bersama MCORP untuk memberikan keperluan tenaga hijau di kawasan GTP nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.