PUSAT FESYEN JENAMA JERMAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 15 Oktober – Melaka bakal membangunkan sebuah pusat fesyen (fashion centre) jenama dari Jerman pada masa akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, satu kawasan khas akan dibangunkan di kawasan Taman Teknologi Jerman atau German Technology Park (GTP), di mana semua barangan keluaran Jerman termasuklah fesyen, gaya hidup dan sebagainya akan dijual di sini.

Jelas Ketua Menteri, perancangan itu secara tidak langsung dapat menarik orang ramai termasuk pelancong datang ke Melaka untuk mencari pelbagai jenama dari Jerman.

“Sebenarnya, ramai yang tidak tahu bahawa terdapat banyak jenama fesyen yang popular di negara ini dan seluruh dunia datang dari Jerman.

“Sebab itulah, saya berhasrat untuk mewujudkan sebuah pusat fesyen Jerman ini di Melaka dalam usaha untuk terus memacu sektor pelancongan negeri.

“Ini membuktikan, selain pelaburan dalam bidang teknologi tinggi, GTP juga bakal dilengkapi dengan pelbagai tarikan termasuklah dalam dunia fesyen dan gaya hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Deutscher Brand Summit 2024 Conference & Exhibition di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Buruh dan Pelancongan Baden-Württemberg, Jerman, Dr. Nicole Hoffmeister-Kraut; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

117
Kongsi :
Previous post GTP MELAKA AKAN ‘RANCAK’ DUA TAHUN LAGI
Next post MCORP METERAI TIGA PERJANJIAN, STRATEGI RANCAKKAN GTP
Ubah saiz-+=