GTP MELAKA AKAN ‘RANCAK’ DUA TAHUN LAGI

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 15 Oktober – Dalam tempoh dua tahun lagi, Taman Teknologi Jerman atau German Technology Park (GTP) Melaka dijangka akan mula dipenuhi syarikat-syarikat berteknologi tinggi Jerman.

Itu sasaran ditetapkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh selepas melancarkan GTP secara rasminya pada Deutscher Brand Summit 2024 Conference & Exhibition di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Menurut Ketua Menteri, disasarkan 70 peratus daripada keseluruhan 186.15 hektar (460 ekar) kawasan perindustrian itu akan diisi oleh syarikat-syarikat yang berminat untuk melabur di GTP, 48 bulan daripada sekarang.

Justeru, jelas beliau, usaha untuk mempromosikan GTP kini dipergiatkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama syarikat-syarikat Jerman yang telah bertapak di Melaka lebih lima dekad.

“Sekarang kita mempunyai 13 syarikat Jerman yang bertapak di Melaka dan pastinya kebanyakan syarikat ini sedia mempromosikan GTP memandangkan negeri ini terbukti mengamalkan dasar mesra pelabur.

“Dasar yang dibuat Kerajaan Negeri dalam memudah cara pelabur untuk masuk ke Melaka menjadi antara nilai tambah atau penarik kepada mereka kerana yakin keputusan yang cepat dapat diperoleh menerusi faedah Melaka Industrial Booster (MIB) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Deutscher Brand Summit 2024 Conference & Exhibition di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Buruh dan Pelancongan Baden-Württemberg, Jerman, Dr. Nicole Hoffmeister-Kraut; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, selain persidangan dan pameran, Deutscher Brand Summit 2024 turut menyaksikan beberapa sesi padanan perniagaan daripada kira-kira 30 buah syarikat yang mengambil bahagian sepanjang empat hari penganjurannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1038
Kongsi :
Previous post GTP KAWASAN PERINDUSTRIAN BERTARAF DUNIA
Next post PUSAT FESYEN JENAMA JERMAN DI MELAKA
Ubah saiz-+=