GTP KAWASAN PERINDUSTRIAN BERTARAF DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 15 Oktober – Taman Teknologi Jerman atau German Technology Park (GTP) yang akan dibangunkan di tanah seluas 186.15 hektar (460 ekar) di Ayer Keroh bakal menjadi satu kawasan perindustrian bertaraf dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, GTP diwujudkan bertujuan untuk menjadikan Melaka sebagai hab pelaburan berteknologi tinggi Jerman yang bakal membuka 10,000 peluang pekerjaan kepada anak Melaka.

Menurut Ketua Menteri, ia juga membuka peluang kerjaya lebih besar kepada pelajar-pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di 23 buah institusi yang ada di negeri ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam mempromosikan GTP yang secara rasminya telah dilancarkan supaya dapat memberi pendedahan kepada syarikat-syarikat Jerman untuk melabur ke negeri ini.

“Saya yakin kewujudan GTP yang membawa pelabur berteknologi tinggi ini insya-Allah akan menjadi kenyataan memandang kita kita secara rasmi menerima kunjungan delegasi dari (negeri) Baden-Württemberg yang telah melihat potensi besar yang ada di Melaka.

“Dengan kerjasama daripada kedua-dua negeri ini (Melaka dan Baden-Württemberg) kita menjangkakan promosi GTP ini akan membawa hasil yang baik untuk kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Deutscher Brand Summit 2024 Conference & Exhibition di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Buruh dan Pelancongan Baden-Württemberg Jerman, Dr. Nicole Hoffmeister-Kraut; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Tambah Ab Rauf, pembangunan GTP juga menjadi bukti satu kombinasi kerjasama terbaik di antara Kerajaan Negeri dengan syarikat swasta.

Jelas beliau, antara yang terlibat dalam merealisasikan GTP adalah Teladan Setia, Jakel Development, Infineon Technologies, Cypark dan lain-lain lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

169
Kongsi :
Previous post UTEM TAWAR BIASISWA ANAK EMAS, PAKEJ KEBAJIKAN BANTU PELAJAR ASNAF
Next post GTP MELAKA AKAN ‘RANCAK’ DUA TAHUN LAGI
Ubah saiz-+=